Kontraktor, anak saudara didakwa bunuh Sabari, kes disebut ke 5 Januari depan


Kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah bagi perbicaraan kes bunuh Sabari (gambar kecil) bulan lalu.

DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra, Kedah atas tuduhan membunuh bekas pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom pada September.

Tertuduh, Mazuan Hanafi yang berusia 38 tahun serta anak saudara kepada Sabari, Muhd Asyraf Idris mengangguk menandakan faham ketika pertuduhan dibaca di hadapan mereka pada Khamis.

Namun, tiada rayuan direkodkan daripada kontraktor dan pekerja kilang itu memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa penghakiman Mahkamah Tinggi.

BACA LAGI: Dua suspek kes bunuh Sabari Baharom dituduh di mahkamah Kubang Pasu pada Khamis

BACA LAGI: Tiada petunjuk ditemukan, operasi mencari Sabari di Sungai Padang Terap ditamatkan

2828604

Kereta Allahyarham Sabari (kanan) ditemui terbakar.

Kedua-dua mereka bersama-sama didakwa membunuh Sabari yang berusia 62 tahun di jambatan sekitar Kampung Empa Sungai Padang Terap, Kubang Pasu, Kedah pada 4 September pada kira-kira pukul 5.30 pagi.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman bunuh atau penjara maksimum 40 tahun dan minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pihak pertuduhan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Rizal Fadzil dan Nasruna Anhar Nordien sementara tertuduh tidak diwakili.

Mejistret Nurul Huda Idris menetapkan tarikh 5 Januari depan untuk sebutan semula kes.

6a546efc53a78fcae589762891487ba2

Operasi mencari mangsa dilancarkan untuk tiga hari.

Sebelum ini, media melaporkan Sabari yang tinggal bersendirian di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, Kedah hilang sejak 4 September.

Keretanya ditemui terbakar di Belantik, Sik, Kedah pada 20 September.

Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra, Kedah dengan kedua-dua tangannya diikat dan mulutnya ditutup pita pelekat selepas dua suspek itu ditahan.

Operasi mencari Sabari sekitar kawasan sungai dijalankan selama tiga hari sebelum berakhir pada 3 Oktober lalu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram