[VIDEO] 'Jangan masuk kampus UM ikut jalan KL,' hujan lebat jadi punca sekitar fakulti dinaiki banjir hingga paras lutut


  • Massa
  • Selasa, 15 Okt 2024

Seorang lelaki memaklumkan mengenai keadaan banjir di sekitar kawasan Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Selasa. — Orang Awam

PENGGUNA jalan raya dinasihatkan agar tidak mengikut laluan jalan dari arah Kuala Lumpur untuk memasuki kampus Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur pada Selasa.

Menerusi hantaran di Facebook, seorang lelaki memuat naik satu rakaman video yang memaparkan keadaan di kawasan Fakulti Undang-Undang, UM yang sudah dinaiki air hingga ke paras lutut.

Difahamkan, keadaan banjir itu terjadi susulan hujan lebat yang berlaku kira-kira dua jam bermula sekitar pukul 8 pagi Selasa.

"Assalamualaikum, kepada semua warga kampus dan pengguna jalan raya. Jangan masuk melalui gate Kuala Lumpur kerana sekarang banjir yang amat tinggi," tegasnya.

Tidak hanya itu, menerusi laman X, seorang pengguna, Hazri mendedahkan bahawa hujan lebat mengakibatkan terjadinya kejadian tanah runtuh di sekitar Taman Melawati.

Rakaman yang dipaparkan menunjukkan aliran air deras dari atas bukit yang menyebabkan beberapa pokok tumbang berhampiran rumah hingga terkena kenderaan milik penduduk.

Dalam pada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memberi nasihat kepada orang awam agar berhati-hati di jalan raya berikutan hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur.

DBKL berkata, pemandu dinasihatkan memandu dengan perlahan ekoran jalan licin, menjaga jarak selamat dan tidak memotong lorong jika tiada keperluan.

"Tingkatkan jarak kenderaan agar ada masa untuk berhenti dengan selamat jika berlaku kecemasan.

"Kesesakan semasa hujan boleh menyebabkan kenderaan bergerak secara perlahan. Elakkan menukar lorong tanpa perlu. Penglihatan yang jelas amat penting dalam cuaca seperti ini.

"Ingatlah, keselamatan anda adalah yang utama. Ambil langkah berjaga-jaga dan sampai ke destinasi dengan selamat," katanya menerusi Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram