Shazalli Ramly ganti Allahyarham Rozaid, dilantik Penasihat Media & Komunikasi Strategik PMO


  • Primer
  • Selasa, 15 Okt 2024

Mohammed Shazalli dilantik sebagai Penasihat Media dan Komunikasi Strategik yang baharu, berkuat kuasa Isnin.

DATUK Seri Mohammed Shazalli Ramly dilantik sebagai Penasihat Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang baharu, berkuat kuasa pada Isnin.

Pelantikan itu dimaklumkan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan PMO pada Selasa.

"Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan pelantikan Mohammed Shazalli sebagai Penasihat Media dan Komunikasi Strategik berkuat kuasa 14 Oktober bagi menggantikan Allahyarham Rozaid Rahman.

BACA LAGI: Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO, Rozaid Rahman meninggal dunia pada usia 59 tahun

BACA LAGI: Ayah minta beli kaca mata hitam sebab silau, masih mahu ambil tahu perkembangan berita — anak Allahyarham Rozaid

"Beliau yang ketika ini berkhidmat sebagai Penasihat Media Khazanah Nasional Berhad akan turut memantau urusan media dan komunikasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau juga akan ditugaskan untuk menambah baik pelaksanaan kempen Malaysia Madani,” maklumnya.

Mohammed Shazalli, 63, memulakan kerjayanya bersama Lever Brothers (Unilever) dan British American Tobacco Company, serta pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan serta Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia Bhd.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif dan naib presiden eksekutif korporat serantau Axiata Group Bhd.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Pemasaran) dari Indiana University Bloomington di Amerika Syarikat (AS) dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari St Louis University, Missouri itu juga merupakan bekas Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Bhd dari Disember 2020 hingga Disember 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram