Rozaid — biar jasa jadi kenangan


  • Massa
  • Selasa, 20 Ogos 2024

Deretan buku Pramoedya Ananta Toer diletakkan di sudut wad Hospital Sultan Idris Shah, sebagai peneman Allahyarham.

KEDINGINAN bilik itu memang terasa. Hembusan penyaman udara menyebabkan suasana agak 'membeku'. Namun deretan buku Pramoedya Ananta Toer di sudut wad itu menjadikan pertemuan kami segera 'hangat.'

Orang yang bagaimana ini - dalam uzur dan perlu melayan kunjungan doktor dari semasa ke semasa, dan menjalani sesi pengubatan yang rigid, dia masih sempat menikmati karya Pram?

Sehari selepas pertemuan itu kami rancak berbalas mesej di WhatsApp. Paling nyata masing-masing begitu bersemangat mengetengahkan hujah, silih berganti.

BACA LAGI: Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO, Rozaid Rahman meninggal dunia pada usia 59 tahun

BACA LAGI: Ayah minta beli kaca mata hitam sebab silau, masih mahu ambil tahu perkembangan berita — anak Allahyarham Rozaid

Ya, ia ada kaitan hala tuju konten portal dengan tagline - Refleksi Tanpa Prejudis - yang bakal menyambut ulang tahun ketiga pada Oktober nanti. Majoriti ternyata memang sangat dekat di hatinya

Statusnya sebagai pesakit yang 'terikat' di dalam wad hospital langsung tidak menjadikan Rozaid Abdul Rahman seorang yang uzur. Jika bukan kerana persekitaran dan pakaian yang ada pada badannya, dia adalah Rozaid yang sama seperti selalu ada di pejabat.

Namun pada ketika itu dia ialah seorang Rozaid yang konsisten mengetahui hal-hal seputar negara dan dunia. Pada masa sama, jika keadaan mengizinkan, dia tetap rajin membalas mesej sambil berbaring di atas katil hospital.

Itu kisah sebulan lalu, atau lebih tepat pada 20 Julai 2024. Ketika itu, Rozaid sudah dua minggu dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Sultan Idris Shah di Serdang, Selangor akibat serangan jantung.

Sehari sebelum itu, kami berjumpa beberapa minit di wad sama.

"Mai la, aku OK. BP aku pun OK hari ni. Nanti bawa sekali Majoriti 7 yang terbaharu punya," demikian balasannya apabila disapa menerusi mesej telefon. Tanpa berlengah, aku dan Pengarang Berita Majoriti Online, Mohd Hasriq Amiruddin, segera ke Serdang.

Alhamdulillah hari itu urusan kami dipermudah. Hajat kami kesampaian apabila dapat juga berjumpa dengan Rozaid. Ternyata dua minggu di dalam wad dan berdepan dengan makanannya yang "tak rasa apa", Rozaid tetap seperti yang kami kenali.

WhatsApp Image 2024-08-20 at 12.14.32 (1)

Sempat berkunjung ke Hospital Sultan Idris Shah bagi melawat Rozaid.

Bahkan pada hari tersebut wajah Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu yang pernah menyandang tugas selaku Pengarang Perundingan Star Media Group (SMG) memang tampak 'glowing'.

Dan ketentuan ALLAH itu tiada siapa tahu. Ia sudah tertulis sejak azali. Pada tarikh sama sebulan kemudian, kami bersua lagi tapi dalam situasi berbeza. Tiada lagi berbalas hujah, tiada lagi gelak tawa mahupun kata-kata semangat. Semuanya sepi.

Di depan kami hanya ada sekujur tubuh yang kaku di ruang tamu kediaman teres dua tingkat di perumahan Putra Heights, Subang Jaya. Jenazah Rozaid dikelilingi wajah-wajah insan kesayangannya.

Ada yang sedang mengaji al-Quran, seorang lagi mengusap-usap rambut putih arwah, di sebelah kanan pula ada yang merenung wajahnya tanpa jemu.

Juga ada si manis yang seorang lagi ketara sebaknya dan terus setia bersimpuh di sisi arwah. Sukar sekali untuk anak-anak itu melepaskan wali mereka pergi, tapi apakah daya itu semua suratan takdir.

Ketika di tanah wakaf di Presint 20, Putrajaya kelihatan begitu ramai rakan wartawan, bekas staf dan VIP turut hadir memberikan penghormatan terakhir.

Saat kain kapan dibuka seketika untuk ahli keluarga menatap buat kali terakhir wajahnya, ramai yang menitiskan air mata. Kesedihan berlanjutan sehingga liang lahad ditimbus dengan tanah.

Selesai urusan pengebumian, masih ramai yang berada di sekeliling kubur itu. Mereka bagaikan enggan membiarkan Rozaid keseorangan. Namun hakikat perlu diterima walaupun sepahit mana.

Hidup perlu diteruskan.

Dalam ramai-ramai insan yang hadir itu, sebenarnya ramai yang terhutang budi dengannya. Saat menyaksikan jenazah disambut masuk ke liang lahad, ada mengimbau pelbagai kebaikan Rozaid membantu orang lain dalam macam-macam cara, seadanya.

Ada kakitangan yang tidak jadi dipindahkan jauh dari kampung halaman, misalnya.

Ada juga yang matanya merah memikirkan berharganya bantuan diberi hingga memungkinkan dirinya mendapat jawatan yang diidamkan selama ini.

Ia hanya berlaku kerana kepercayaan ada di dalam hati insan yang dijemput Ilahi pada usia 59 tahun itu.

Tidak kurang juga dalam kalangan yang hadir itu, ada yang pernah mendapat bantuan wang ringgit bagi memastikan kehidupan mereka menjadi lebih selesa.

photo_6206382039876354956_y

Rozaid (berdiri kanan) ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Majoriti Online di De.Wan 1958 by Chef Wan @ The Linc KL pada 2023.

Pedulilah sama ada dia itu ada pertalian darah kekeluargaan atau sebaliknya, bantuan Rozaid tidak mengira itu semua.

Dengan jasa dan budi yang begitu banyak, semoga ia menjadi asbab untuk Roz (panggilan mesra rakan-rakannya di Menara Star khususnya) ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan tenang di taman syurga. Aminn.

Ya, paling menyerlah pada sosok itu ialah watak seorang 'bapak' yang istimewa. Dia tidak pernah lokek memberi buah fikiran dan menegur jika ada yang jelik di matanya.

"I tell the truth," demikian katanya apabila perlu - kerana kebenaran walaupun pahit memang patut disuarakan untuk kebaikan semua. Setuju!

Demikianlah Rozaid Abdul Rahman yang ku kenali namanya sejak zaman persekolahan. Ketika itu arwah yang baharu memulakan kerjaya sebagai wartawan menghasilkan catatan pengembaraannya dari pelbagai destinasi menarik.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu kemudian 'tumbuh' membina nama dalam kelas yang tersendiri selama 40 tahun bergelumang dalam dunia kewartawanan yang penuh cabaran ini. Ditakdirkan bidang itu jua membolehkan aku menimba ilmu dan banyak memperoleh tip daripadanya untuk terus menjalankan tugas di Menara Star.

* "Pemimpin bukan untuk disukai tapi sebenarnya dibenci," itu nasihatnya saat mendapatkan pandangan mengenai satu isu kerana katanya keputusan yang dibuat pemimpin selalunya tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak.

* Kalau mempertimbangkan sesuatu perkara, sebaiknya buat keputusan dan terus beri arahan, bukan meminta pandangan kerana ia mencerminkan keperibadian diri seseorang.

* Jika membuat liputan di lapangan, wartawan wajib selesaikan bahan berita yang diperoleh, bukan bertanya kepada bos sama ada artikelnya itu nak diguna serta-merta atau kemudian, kerana tugas mereka menulis berita. Biarkan editor menentukan bila berita itu akan disiarkan - "Mana kita tau, siang dia pi assignment, malam tu juga dia meninggal. Bawa sampai ke mati la berita yang dia dapat tu nanti."

* Matanya memang 'tajam' dan speed reading adalah kepakarannya. Tapi jangan sesekali ingat anda akan terlepas jika melakukan kesilapan teks - perkataan berulang dalam ayat sama misalnya - hal ini memang dia pantang!

Kini hanya ingatan dan nama Rozaid yang masih tinggal. Petua dan pesanannya akan banyak membantu ramai orang menjalani kehidupan - bukan saja dalam dunia kewartawanan malah lebih luas daripada itu.

Insya-ALLAH, ia akan selalu dikenang, sama seperti naskhah-naskhah karangan Pram yang menjadi temannya selama ini.

“Dalam hidup kita, cuma satu yang kita punya, iaitu keberanian. Kalau tidak punya itu, lantas apa harga hidup kita ini?” (Pram, 6 Feb 5 - 30 April 2006). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram