Allahyarham Rozaid pejuang kental, pernah ditahan di bawah ISA — PM Anwar


  • Primer
  • Isnin, 19 Ogos 2024

Anwar (kiri) ketika hadir pada majlis solat jenazah buat Allahyarham Rozaid di Putrajaya. — Facebook/Anwar Ibrahim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Allahyarham Rozaid Abdul Rahman sebagai seorang pejuang yang kental selain setia sepanjang tempoh perjuangan mereka.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menceritakan bagaimana arwah pernah dipenjarakan dan antara mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa ledakan gelombang reformasi pada 1997 sehingga 1998.

"Kami mengenali saudara Rozaid dan keluarganya sejak puluhan tahun lalu, terutamanya ketika Almarhum mula mencipta nama sebagai wartawan yang disegani di akhbar Utusan Melayu," tulisnya.

BACA LAGI: Jenazah Rozaid Rahman selamat dikebumikan di Putrajaya

BACA LAGI: Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO, Rozaid Rahman meninggal dunia pada usia 59 tahun

Pada Ahad, Rozaid yang berusia 59 tahun meninggal dunia di kediamannya sekitar Putra Heights, Subang Jaya, Selangor akibat masalah jantung.

Allahyarham sebelum itu dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor dan pernah menerima kunjungan beberapa figura negara seperti Anwar dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Jenazah Rozaid disolatkan di Masjid Putra Heights kira-kira pukul 10 pagi sebelum dikebumikan di Putrajaya pada Isnin.

Dalam pada itu, Anwar berkata, bapa Allahyarham juga antara pemimpin terawal Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beliau secara peribadi amat terkesan dengan kehilangan seorang sahabat dan rakan seperjuangan yang setia dan gigih.

“Semoga ALLAH S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Rozaid, diampunkan segala dosanya serta dilimpahkan kekuatan yang tidak terhingga buat keluarganya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram