Trend salah guna, ketagihan dadah dalam kalangan pelajar kian parah, penagih termuda berusia 11 tahun


  • Primer
  • Isnin, 14 Okt 2024

Pusat pemulihan narkotik (Puspen) Seri Iskandar menyaksikan banyak remaja dalam kes penyalahgunaan dan penagihan dadah.

ISU penyalahgunaan dan penagihan dadah dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah di negara menunjukkan trend membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan dari 2020 hingga 2023, berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok berkata, 10,456 kes penyalahgunaan dan penagihan dadah direkodkan membabitkan pelajar sekolah rendah pada 2020, meningkat kepada 10,712 kes pada 2021.

BACA LAGI: Penagih dadah ancam nyawa ahli keluarga, disimbah cat antara cabaran penguat kuasa AADK

BACA LAGI: Remaja ketagih dadah akibat perasaan rendah diri antara klien MRT AADK

“Kemudian pada 2022, kes dalam kalangan pelajar sekolah rendah mencatatkan peningkatan kepada 11,611 dan meningkat kepada 12,755 kes pada tahun lepas (2023),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Aspirasi Bahasa dan Sastera Peringkat Perak di Kangar, Perlis.

Program anjuran bersama AADK bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Pendidikan Perlis itu melaksanakan beberapa pertandingan kempen antidadah membabitkan sekolah rendah dan menengah di Perlis dalam usaha mempelbagaikan kempen anti dadah untuk golongan sasar.

Khairul Anwar berkata, berdasarkan rekod AADK menunjukkan bahawa pelajar sekolah rendah termuda yang menjadi penagih dadah berusia 11 tahun.

Sementara itu, bagi kategori menengah rendah iaitu pelajar Tingkatan Tiga atau setaraf, Khairul Anwar berkata, statistik merekodkan 32,867 orang terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah pada 2020, meningkat kepada 34,612 orang pada 2021.

“Pada 2022, terdapat peningkatan kepada 36,236 orang dan seterusnya angka ini meningkat tahun lepas kepada 37,321 orang,” katanya.

isi dalam dalam

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok. — Facebook

Beliau berkata, bagi kategori menengah atas iaitu Tingkatan Lima dan setaraf dengannya meningkat kepada 55,855 orang pada tahun lepas (2023) berbanding 47,951 orang pada 2022, manakala pada tahun sebelumnya seramai 43,863 pelajar, dengan 42,758 pelajar pada 2020.

Sehubungan itu, Khairul Anwar berkata, pelbagai langkah dilaksanakan pihaknya untuk memastikan isu itu dapat diatasi dengan menggunakan usaha pencegahan menerusi Model i-Cegah aadk meliputi lima elemen antaranya saringan dan penilaian, pemprofilan, perancangan dan pelaksanaan.

Di peringkat pelaksanaan pencegahan, tiga kaedah utama diketengahkan iaitu umum, selektif dan tertumpu kepada empat kumpulan sasaran utama iaitu keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja dan komuniti.

“Selain itu, pelbagai program pendidikan pencegahan dan kesedaran turut dilaksanakan AADK dalam usaha memberi kefahaman kepada golongan sasar berhubung kesan penyalahgunaan dan penagihan dadah khususnya dalam kalangan remaja,” katanya.

Tambahnya, kempen 'Lebih Baik Mencegah' terus dipergiatkan bagi memastikan usaha pencegahan awal menjadi penghalang utama sebelum isu penyalahgunaan dan penagihan dadah bertambah buruk. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram