SPRM geledah 2 lagi ‘safe house’ sekitar Lembah Klang, temui wang asing bernilai RM321,000


  • 112
  • Isnin, 14 Okt 2024

Azam memaklumkan, SPRM akan menahan empat individu dan mengambil keterangan daripada 15 saksi berhubung perkara tersebut.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu dua lagi 'safe house' di dua lokasi berasingan sekitar Lembah Klang dan merampas sejumlah wang asing dengan nilai keseluruhan RM321,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia susulan penemuan ‘safe house’ pertama melibatkan simpanan sejumlah mata wang asing bernilai RM5 juta ketika menggeledah sebuah pangsapuri di ibu kota pada Sabtu lalu.

Menurutnya, ahli politik terlibat akan dipanggil bagi memberi keterangan selepas segala bukti dan penemuan dokumen berkaitan diperoleh.

BACA LAGI: SPRM geledah ‘safe house’ ahli politik di Kuala Lumpur, jumpa wang RM5 juta

BACA LAGI: Mirzan, Mokhzani isytihar harta ikut masa ditetapkan SPRM — Azam Baki

"Memang ada dua lagi tambahan 'safe house' yang ada tersimpan wang. Salah satu daripadanya ada penemuan lebih kurang SG$74,000 atau duit kita RM243,000.

"Kemudian di satu tempat pejabat dijumpai wang lebih kurang RM78,000 dan kita juga mendapat maklumat ada wang telah dibuat pelaburan di Singapura namun saya tidak boleh dedahkan berapa jumlahnya dan siapa pemiliknya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC) di Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.

Azam memaklumkan, secara keseluruhan, SPRM telah menahan seramai empat individu dan mengambil keterangan daripada 15 saksi.

"Mereka yang ditahan termasuk seorang pengarah di sebuah syarikat, seorang bekas pegawai Menteri Besar Selangor Incorporated yang merupakan lelaki berusia 45 tahun, seorang bekas pemandu (43) dan bekas pegawai kewangan wanita (46).

"Kami percaya terdapat lebih banyak wang yang dilaburkan di Singapura dan disimpan di bank lain. Kami akan meneruskan siasatan mengenai perkara ini," jelasnya. — The Star/STEPHANIE LEE DAN SANDRA LOKAL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram