Lepas dituduh miliki dadah, bekas pembantu PM Anwar, Yusoff Rawther didakwa lagi miliki 2 pistol tiruan


Muhammed Yusoff sebelum ini direman kerana didakwa memiliki senjata api dan dadah. — The Star

BEKAS pembantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther didakwa di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur pada Rabu kerana didapati memiliki dua senjata api tiruan.

Muhammed Yusoff bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Mageswary.

Mengikut pertuduhan itu, dua senjata palsu tersebut ditemui berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, Kuala Lumpur pukul 9.25 pagi pada 6 September lalu.

BACA LAGI: Bekas pembantu PM Anwar, Yusoff Rawther direman dakwaan miliki dadah dan senjata api

BACA LAGI: Dana RM700 juta: SPRM akan panggil bekas PM, pembantu dalam tempoh terdekat

2907036

Muhammed Yusoff Rawther merupakan bekas pembantu Anwar Ibrahim.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membolehkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan agar Muhammed Yusoff diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan penjamin tempatan.

Sementara itu, peguam Nurmustanir Md Nor yang mewakili tertuduh tidak membuat sebarang rayuan kerana Muhammed Yusoff masih dalam tahanan reman bagi kes pengedaran dadah sebelum ini.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Mageswary tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 12 November nanti untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Muhammed Yusof didakwa di Mahkamah Majistret atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 305 gram (g) dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 6 September lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga perlu disebat tidak kurang 12 sebatan.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa turut mengesahkan penahanan Muhammed Yusoff. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram