[VIDEO] Tak puas hati cakap kurang ajar dengan sepupu punca 2 lelaki bertumbuk dalam bas di Johor


  • 112
  • Sabtu, 12 Okt 2024

Tangkap layar video memaparkan pergaduhan yang berlaku di dalam bas penuh dengan penumpang di Larkin, Johor pada Jumaat.

DUA lelaki yang terlibat dalam pergaduhan dalam sebuah bas ekspres di stesen bas Larkin, Johor pada Jumaat kini sudah ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Raub Selamat berkata, tangkapan itu dibuat susulan video tular memaparkan kejadian tersebut di media sosial.

Raub berkata, pihaknya mendapati pergaduhan tersebut membabitkan beberapa individu lain selepas menerima laporan pada pukul 9.30 malam.

BACA LAGI: [VIDEO] Khuatir cubaan merompak, tindakan lelaki meniarap atas jalan di Sandakan buat ramai bimbang

BACA LAGI: Sanggup berhenti kerja, jodoh ubah impian pengembara berbasikal dari Eropah ke Tanah Suci Makkah

Katanya, laporan itu dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang juga merupakan pemandu bas di lokasi kejadian.

Susulan itu, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 36 dan 40 tahun kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan antara pukul 7 petang hingga 11.30 malam pada hari yang sama.

"Mereka ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di Alor Gajah, Melaka dan Dataran Larkin, Johor.

"Siasatan awal mendapati, punca pergaduhan adalah disebabkan mangsa bercakap kurang ajar dengan kedua-dua suspek yang juga sepupunya menyebabkan mereka tidak berpuas hati dan memukulnya di lokasi kejadian.

"Hasil semakan rekod lampau, suspek pertama mempunyai tiga rekod dalam kes jenayah, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod lampau yang juga kes jenayah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil saringan awal ujian air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua saspek mendapati mereka negatif pengaruh dadah.

Sementara itu, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram