[VIDEO] Bukan 'Ghost Rider', polis dedah kisah di sebalik motosikal tanpa penunggang di Lebuhraya Persekutuan


  • 112
  • Khamis, 10 Okt 2024

Tangkap layar video tular motosikal tanpa penunggang di Lebuh Raya Persekutuan baru-baru ini.

KEJADIAN misteri motosikal tanpa penunggang di Lebuh Raya Persekutuan menghala Shah Alam, Selangor pada Rabu terungkai selepas polis memaklumkan kejadian tersebut sebenarnya melibatkan kemalangan antara dua buah motosikal di lokasi berhampiran.

Kemalangan itu dikesan berlaku lorong motosikal sebelum salah satu kenderaan secara tiba-tiba memasuki jalan utama.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya terkesan satu video berdurasi 39 saat tular di media sosial memaparkan kejadian itu.

BACA LAGI: Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan

BACA LAGI: 'Berkawad di dapur', diet setiap platun berbeza, pensyarah MSU 'berjuang' dalam dunia kulinari TLDM

Katanya, dalam video yang dimuat naik oleh pemilik akaun X (Twitter) Syazwan Zanini, sebuah motosikal jenis Modenas GT 128 telah berjalan tanpa penunggang di laluan utama.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan terjatuh dari motosikal yang ditunggang sebelum motosikal bergerak masuk ke laluan utama di lokasi kemalangan.

"Kejadian itu telah dirakam kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) sebuah kereta yang melalui laluan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau lagi, melalui rakaman dashcam pemandu kereta tersebut, penunggang motosikal yang terlibat kemalangan berjaya dikesan.

“Mangsa akan hadir membuat laporan polis pada hari ini (Khamis). Dimaklumkan bahawa mangsa mengalami kecederaan di tangan dan di belakang badan,” katanya.

Tegas beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A.Aziz di talian 011-32311232 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram