[VIDEO] ‘No risk no fun’, hobi ekstrem Hanif 'menurun' ke anak, takluk gunung Surabaya


  • Massa
  • Khamis, 03 Okt 2024

Hanif memilih berbasikal di hutan atau bukit kerana lebih menyeronokkan walaupun penuh dengan cabaran. — Instagram/Hanif

SETIAP individu memiliki hobi tersendiri sebagai cara mengekspresikan diri, mengisi waktu lapang dan menikmati keindahan dunia.

Hobi sememangnya boleh dilakukan dalam pelbagai cara tidak kira santai mahupun lasak.

Antara aktiviti yang gemar dan mudah dilakukan orang ramai adalah berbasikal sambil menghirup udara segar di sekeliling taman atau sekitar kota.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak perlu malu kerja sambilan jadi pengawal, Nurin antara 3 pelajar IPT contoh sanggup sengkang mata demi penduduk Desa Melor

BACA LAGI: Tiba masa ubah jolokan 'Colombia', MBDK giat jadikan Pangkalan Batu titik ubah persepsi Klang

6332122404377182642

Aktiviti berbasikal ekstrim juga antara cara sesetengah individu menghilangkan tekanan. — Instagram/Hanif

Namun, terdapat pula perbezaan ‘mood’ dalam aktiviti tersebut kerana ada sesetengahnya memilih untuk berbasikal secara ekstrim iaitu di kawasan hutan dan bukit.

Meskipun mengalami kecederaan berulang kali akibat terjatuh ketika aktiviti berbasikal meredahi halangan di dalam hutan, ia tidak melunturkan minat Hanif Fazalul terhadap sukan berkenaan sejak 11 tahun lalu.

Ahli perniagaan berusia 33 tahun itu pernah dimasukkan ke hospital awal pembabitannya dalam sukan itu kerana mengalami kecederaan pada dada, bahu dan kepala.

“Dalam berbasikal gunung (mountain bike) memerlukan kemahiran, fokus dan risiko. Ada kenyataan ‘no risk no fun’ bagi saya. Ya, risiko itu bahaya, tetapi ia boleh dikawal sama ada kita nak buang terus atau meminimakan risiko tersebut.

“Dalam tempoh lebih 10 tahun ini tak terkira jatuhnya, mungkin kejap lagi jatuh lagi. Cuma jatuh waktu mula-mula dalam sukan ini berbeza berbanding sekarang.

“Dulu jatuh secara kosong, kita tiada maklumat. Macam sekarang dah boleh jangka akan jatuh jadi dah bersedia, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan,” katanya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu mengakui kecergasan dan kemahiran adalah cabaran utama dalam sukan berkenaan.

“Bagi saya, kita perlu tahu kemahiran bagaimana nak membelok sepanjang kayuhan terutama ketika dalam keadaan turun untuk elak dari terbabas.

“Apabila kerap jatuh nanti jadi tak gembira. Kalau ada ilmu, ia lebih menyeronokkan,” jelasnya.

6332122404377182646

Anak-anaknya yang turut dibawa untuk menyaksikan hobi bapanya di dalam hutan. — Instagram/Hanif

Hanif berkata, sukan itu juga telah membawanya kayuh hingga ke Gunung Bromo di Surabaya, Indonesia pada 2018.

Hanif juga menyifatkan lokasi itu amat menakjubkan ketika melakukan aktiviti berbasikal.

“Dalam kalangan mereka yang berbasikal ia dikenali sebagai ‘epic ride’ yang mana apabila berada di puncak gunung akan turun dalam keadaan bebas tanpa perlu fikir lubang dan selekoh.

“Ia sangat menyeronokkan kerana kiri dan kanan adalah pemandangan indah. Bagi saya ia momen yang sangat best dan manis,” katanya yang meluangkan masa melakukan aktiviti berkenaan pada hujung minggu sahaja.

Sepanjang aktif dalam sukan itu sebanyak lima basikal silih berganti digunakan Hanif dengan perbelanjaan mencecah belasan ribu ringgit.

“Boleh dikatakan dua tahun sekali saya tukar basikal pada kos setiap satu bermula RM2,000 hingga RM15,000.

“Nampak mahal, namun ia tahan lebih lama dan kurang risiko rosak apabila terjatuh.

“Selain berkualiti, aspek penting penjagaan perlu sama seperti menyelenggara kereta,” tuturnya yang mulai aktif sukan berkenaan sejak sebelum mendirikan berumah tangga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram