Ada kesan bengkak, luka di badan, 4 pelajar tahfiz di KL disyaki didera sebelum hilang


  • 112
  • Sabtu, 12 Okt 2024

Empat pelajar pusat tahfiz yang disyaki didera selepas polis mengesan beberapa luka pada anggota badan mereka.

POLIS menemukan beberapa kesan luka pada anggota badan empat pelajar tahfiz dari Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Dato Keramat, Kuala Lumpur yang diselamatkan selepas hilang pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pelajar berusia 13 dan 14 tahun itu ditemui di Bangi, Selangor dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan selepas disyaki terdapat penderaan seksual.

"Kami membawa mereka ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan dengan persetujuan ibu bapa masing-masing, mengikut prosedur.

"Ada tanda-tanda bengkak dan luka-luka lain dipercayai berlaku ketika berada di sekolah tahfiz itu. Kami masih menyiasat perkara itu," katanya pada Jumaat.

BACA LAGI: [VIIDEO] 'Haikal rindu, pulanglah mak', pelajar UPM kuatkan semangat rayu kepulangan ibu lepas ditinggal sejak usia 2 bulan

BACA LAGI: [VIDEO] Dron pengesan haba bantu polis AS kesan budak hilang di tengah-tengah ladang jagung

Beliau berkata, dua kertas siasatan sudah dibuka di bawah Seksyen 31 1(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14b Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Kanak-anak lelaki itu mendakwa mereka didera dan diserang secara seksual. Bagaimanapun, kami sedang menyiasat dakwaan itu dengan lebih lanjut.

"Mereka juga mendakwa, tindakan melarikan diri dari sekolah itu kerana tidak tahan lagi dengan keadaan di situ. Mereka berada di sana tidak sampai setahun," katanya lagi.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak lelaki itu turut dibuli berikutan kenyataan yang mereka berikan serta daripada wakil sekolah.

Terdahulu, empat pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang telah ditemui selamat pada Khamis.

Pelajar itu ditemui oleh orang awam pada 11.58 malam Khamis.

Mereka berada di sekitar Kampung Bangi di Kajang, Selangor sebelum diserahkan ke balai polis Bangi. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram