SUSPEK wanita yang sedang ditahan reman bagi membantu siasatan melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu pada Rabu lalu didapati tidak pernah mendapat rawatan kesihatan mental di negeri tersebut.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, berdasarkan semakan, tiada rekod rawatan kesihatan mental bagi suspek berusia 49 tahun itu dijumpai di mana-mana fasiliti kesihatan di negeri berkenaan.
“Begitu pun, kita tidak pasti sama ada wanita tersebut pernah mendapat rawatan mental di negeri-negeri lain,” katanya pada Jumaat.
BACA LAGI: Wanita rempuh 3 pelajar UiTM Dungun hingga maut direman empat hari
BACA LAGI: Mangsa ke-4 kena rempuh wanita disyaki kurang siuman sudah sedar di Hospital Dungun
Dr Kasemani turut menasihatkan mana-mana ahli keluarga yang berkemungkinan menghidapi penyakit mental supaya tampil menghantar individu terbabit mendapatkan rawatan lanjut.
"Jangan malu untuk datang mendapatkan rawatan kesihatan mental.
"Malah masyarakat kita perlu ubah persepsi mengenai penyakit mental ini.
"Kita juga seharusnya memberi sokongan kepada mereka untuk mendapat rawatan sewajarnya supaya menjadi lebih baik pada masa hadapan," jelas beliau.
Pada Khamis, Majoriti melaporkan Mahkamah Kuala Terengganu mengeluarkan perintah reman empat hari bermula Khamis terhadap suspek.
Perintah reman terhadap wanita yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dikeluarkan Majistret, Nur Amira Fatihah Osman setelah membenarkan permohonan polis untuk siasatan kes tersebut.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Media sebelum ini melaporkan tiga pelajar UiTM Cawangan Dungun maut, manakala seorang lagi parah selepas dirempuh sebuah SUV pada Rabu.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin, Ku Adib Aizad Ku Azmi, masing-masing berusia lingkungan 20-an.
Sementara itu, mangsa keempat Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridwan, 20 mengalami kecederaan parah kini dilaporkan sudah sedarkan diri di Hospital Dungun. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram