
MAJLIS Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menamatkan operasi menembak gagak yang bertujuan untuk mengawal gangguan burung yang semakin meningkat di kawasan itu.
Operasi yang dijalankan dari 6 pagi hingga 8 malam di seluruh kawasan pentadbiran MPAJ itu menyasarkan populasi burung gagak kerana ia menyebabkan pencemaran najis serta bunyi bising di taman, kawasan rekreasi dan pasar.
Kali terakhir MPAJ menjalankan operasi serupa adalah pada September 2023 yang mana sebanyak 323 burung gagak ditembak.
BACA LAGI: Wira tanpa suara: Anjing perang dan pengorbanan di sebalik misi menentang komunis
Sepanjang Januari hingga Ogos 2024, MPAJ telah menerima empat aduan mengenai populasi burung gagak.
Operasi Menembak Gagak MPAJ 2024 yang dibuka kepada penembak berlesen Polis Diraja Malaysia dan tidak terhad kepada warga Ampang menyaksikan penyertaan seramai 28 penembak berlesen.
Peserta dibenarkan menembak burung gagak di beberapa lokasi termasuk Pandan Indah, Pandan Mewah, Taman Dagang, Taman Keramat dan Taman Melawati.
Operasi itu bukan sahaja mengurangkan gangguan yang disebabkan burung tetapi turut memberikan insentif kepada penembak dan ini menyumbang kepada kejayaan keseluruhan operasi.
Dengan ganjaran RM8 bagi seekor burung gagak, sebanyak 557 ekor burung gagak berjaya ditembak.
Angka itu menandakan usaha penting untuk mengurangkan populasi burung gagak dan mengurangkan masalah yang berpunca daripada burung itu di kawasan berkenaan.
Lokasi tumpuan populasi burung gagak adalah di Jalan Pandan Utama, Jalan Pandan Ilmu, Jalan Pandan Indah, kawasan pasar pagi Taman Muda, Taman Kosas, Bukit Indah, Taman Dagang, Taman Dato Ahmad Razali, Taman Nirwana, dan Kampung Pandan.
Ketika ditanya mengenai penyelesaian alternatif untuk menembak burung gagak, MPAJ berkata, "Selain menjalankan operasi tembak gagak secara berkala, MPAJ juga memberi tumpuan kepada pengurusan sisa yang baik sebagai langkah kawalan.
“Kami berharap inisiatif ini dapat membantu menguruskan tapak pelupusan sampah dengan lebih baik, mengelakkan burung gagak dan seterusnya dapat mengawal populasi burung tersebut,” tambah MPAJ.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar MPAJ, Siti Mariam Abdullah dan Pengarah Jabatan Undang-undang, Johari Atli. — The Star / DIVYA THERESA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram