Tiada lagi yuran pendahuluan bagi rumah mampu milik di Selangor bermula 2025


  • Massa
  • Khamis, 10 Okt 2024

Pengecualian tersebut hanya untuk projek Rumah Idaman dan Rumah Harapan di Selangor.

BERITA baik buat mereka yang ingin mendapatkan rumah mampu milik di Selangor apabila kerajaan negeri tersebut mengecualikan yuran pendahuluan bermula 2025.

Perkara itu diungkapkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah pada Rabu.

Menurut Borhan, pengecualian itu akan menarik lebih ramai pihak untuk mendapatkan projek perumahan mampu milik seperti Rumah Idaman dan Rumah Harapan.

BACA LAGI: Remaja dari Melaka sanggup datang PJ hadiri pameran PSM demi hobi kumpul setem

BACA LAGI: Makan brokoli dan kubis bantu turunkan tekanan darah

1

Datuk Borhan Aman Shah

Tambah Borhan lagi, projek perumahan yang mengenakan harga biasa tidak akan menerima pengecualian tersebut.

"Rumah dengan harga biasa tidak akan termasuk dalam pengecualian ini. Pengecualian ini adalah untuk perumahan mampu milik bermula Januari 2025 sehingga tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Borhan mengatakan yang pengecualian tersebut adalah untuk menggalakan lagi projek perumahan mampu milik di negeri tersebut.

Dia juga berharap, sebagai negeri yang banyak menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, Selangor akan menerima dana tambahan daripada kerajaan pusat dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 18 Oktober.

"Kami ada sasaran untuk membina lebih kurang 200,000 buah rumah mampu milik menjelang 2026. Dengan kapasiti kita untuk membina 40,000 buah rumah setiap tahun, pengecualian ini dapat membantu melajukan pembinaan.

"Sebagai negeri yang menyumbang KDNK terbesar, ia adalah adil untuk kerajaan Persekutuan menyediakan lebih dana kepada Selangor untuk mengatasi perkara penting seperti tebatan banjir dan menaik taraf infrastruktur," ujarnya.

Borhan mengatakan yang butiran lanjut mengenai pengecualian tersebut akan dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor ketika pembentangan belanjawan negeri pada pertengahan November. — The Star/LEW GUAN XI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram