Adib pernah minta supaya tidak letak harapan tinggi padanya — Ibu


  • Massa
  • Khamis, 10 Okt 2024

Ibu allahyarham berkongsi bahawa Ku Adib seorang yang berdikari.

PEMERGIAN Ku Adib Aizad Ku Azmi yang maut dalam kemalangan di Dungun, Terengganu dirasai ramai terutama ahli keluarga, guru dan kenalannya.

Anak muda berusia 20 tahun ini dikenali sebagai seorang yang berdikari apabila bekerja sambilan dengan syarikat e-hailing semasa cuti semester.

Malahan, arwah seorang yang disenangi guru-guru di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana dan Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama kerana bakatnya dalam acara merentas desa.

BACA LAGI: Wanita rempuh 3 pelajar UiTM Dungun hingga maut direman empat hari

BACA LAGI: Mangsa ke-4 kena rempuh wanita disyaki kurang siuman sudah sedar di Hospital Dungun

WhatsApp Image 2024-10-10 at 23.19.52

Suasana pilu di tanah perkuburan di Tanah Perkuburan Islam Rauthatul 'Aliyah, Saujana Utama.

Sebagai anak sulung, tentu sekali Ku Adib menjadi harapan buat ibu bapa, bagaimanapun siapa sangka takdir menentukan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini dijemput Ilahi pada usia muda.

"Adib pernah beritahu jangan letakkan harapan tinggi padanya," demikian luah ibu Ku Adib Aizad.

Ibunya yang juga Penolong Pengarang Berita akhbar Berita Harian (BH), Hafizah Iszahanid, berkata perkara itu disampaikan anak lelaki tunggal itu kira-kira setahun lalu.

"Adib seolah-olah dapat rasakan yang dia akan meninggal dunia pada usia muda. Dia juga sentiasa sebut tidak mahu menyusahkan sesiapa," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Seri Pristana, Sungai Buloh pada Khamis malam.

WhatsApp Image 2024-10-10 at 22.53.21

Hafizah (dua dari kiri) berkongsi kisah Ku Adib dengan guru arwah di kediaman mereka pada Khamis malam.

Penuntut jurusan perakaunan itu adalah anak sulung daripada empat beradik yang meninggal dunia selepas dirempuh sebuah Honda CRV di Kampung Sura Hujung berdekatan universiti berkenaan pada pukul 7.20 malam Rabu.

Turut maut ialah Khairil Anwar Jamaludin dan Muhammad Akmal Md Tukirin manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan cedera parah.

Ketika kemalangan berlaku, Hafizah bersama suami, Ku Azmi Saad dalam penerbangan ke Makkah untuk menunaikan umrah menerusi Program Umrah dan Ziarah 2024, Media Prima Bhd membabitkan 127 peserta daripada kalangan petugas dan ahli keluarga.

Kongsi Hafizah lagi, mereka juga jarang menghantar Ku Adib ke kampus kerana anaknya itu seorang yang berdikari.

"Mulanya Adib tak dapat asrama, jadi disebabkan dia kena menyewa kami hantar dia ke kampus, tetapi sebaik tiba di UiTM kami dimaklumkan Adib diberi penginapan dalam kampus.

"Jadi, adalah masa untuk kami bersama beberapa hari sejak Jumaat lalu," katanya yang bersyukur perjalanan pulang ke kediaman mereka lancer, sekali gus berpeluang menatap wajah anaknya buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rauthatul 'Aliyah, Saujana Utama.

WhatsApp Image 2024-10-10 at 22.55.54 (1)

Hafizah (kanan) tenang melayan ahli keluarga, jiran, rakan sekerja dan kenalan Ku Adib yang menziarahi mereka di Seri Pristana pada Khamis malam.

Tambah Hafizah lagi, ketika dalam perjalanan ke Dungun pula Adib ada menyebut yang dia tidak mahu hadir majlis konvokesyen selepas tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda.

"Memang tidak disangka-sangka kata-katanya itu menjadi kenyataan," katanya.

Menurutnya lagi, berita pemergian Allahyarham Ku Adib diterima menerusi aplikasi WhatsApp, semasa berada di Jeddah.

"Sebaik mendapat berita, kami terus mendapatkan tiket pulang ke Malaysia semula dan alamdulillah tiba di KLIA pada pukul 3.30 petang dan terus pulang ke rumah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram