[VIDEO] KKM tegur pengendali makanan guna air parit cuci periuk patuh arahan


  • Primer
  • Rabu, 09 Okt 2024

Tangkap layar video memaparkan tindakan seorang pengendali makanan di sebuah restoran yang mencuci periuk menggunakan air parit.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengingatkan semua pengusaha premis dan pengendali makanan agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

KKM memberitahu bahawa ia termasuk proses membersihkan peralatan memasak seperti periuk atau kuali menggunakan sumber air bersih serta menyimpan bahan mentah. makanan di tempat selamat dan pada suhu yang betul.

KKM juga melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa terhadap premis makanan.

BACA LAGI: Bimbang masa depan kanak-kanak GISBH, Sultan Selangor titah proses pemulihan tak dilengah-lengahkan

BACA LAGI: Bekas peguam, pekerja ladang kekal terima hukuman mati kes bunuh Sosilawati

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab pengusaha premis makanan untuk memastikan semua pekerja menghadiri Latihan Pengendali Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh KKM serta mendapatkan vaksinasi anti-tifoid.

"Orang ramai pula dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memilih tempat makan dan sentiasa memastikan makanan yang diambil adalah bersih serta selamat.

"Sebelum membeli ‘Perhati dan Pilih’ serta amalkan ‘Lihat Hidu Rasa’ kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.

"Dalam hal ini, KKM akan terus menjalankan advokasi dan memantau serta mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan keselamatan makanan di negara ini terjamin," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Notis tersebut sekali gus dikeluarkan susulan beberapa isu yang tular di media sosial berkaitan pengendali makanan mengendalikan makanan dengan cara tidak bersih dan selamat.

Ia termasuk tindakan seorang peniaga roti canai di lokasi yang tidak dapat dipastikan yang mencuci kuali menggunakan air longkang.

Tambahnya, jika pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Orang awam juga boleh melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook PKKM di ⁠http://moh.spab.gov.my atau di https://www.facebook.com/bkkmhq. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram