Kes rasuah RM2.8 juta: Keputusan rayuan pembebasan Bung Moktar, Zizie Izette diketahui 18 November


Bung Moktar (kanan) dan Zizie berdepan tiga pertuduhan berhubung kes salah guna dana RM2.8 juta.

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya pada Rabu menetapkan tarikh 18 November depan untuk keputusan rayuan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung tiga pertuduhan menyalah guna dana bernilai RM2.8 juta dikaitkan dengan Felcra Bhd Investment.

Panel tiga juri yang dipengerusikan Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan lisan daripada peguam yang mewakili Bung dan Zizie.

"Mahkamah berasakan hujahan bertulis pendakwaan mencukupi untuk kami menganalisa dan membuat keputusan berhubung rayuan hari ini. Jadi tiada perlu untuk memanjangkannya lagi,” kata Ahmad Zaidi.

BACA LAGI: Pembebasan saya tiada kaitan dengan pemimpin politik lain — Bung Moktar

BACA LAGI: Mahkamah tangguh bicara bela diri Bung Moktar, Zizie Izette sementara tunggu rayuan

Hakim lain yang turut diletakkan dalam barisan tiga panel ialah Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Noorin Badaruddin.

Semasa prosiding pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Maziah Mohaidi manakala peguam M Athimulan dan Datuk Seri K.Kumaraendran masing–masing mewakili Bung dan Zizie.

hk_img

Bung Moktar dan Zizie Izette dituduh menyalah guna dana RM2.8 juta daripada Felcra Bhd Investment.

Terdahulu, pada awal prosiding Maziah memaklumkan bahawa TPR yang mengetuai rayuan iaitu Low Chin How tidak dapat hadir kerana cuti sakit.

“Pada hari ini saya berhasrat untuk menangguhkan bagi bicara rayuan ini. Bagaiamanapun, seperti yang dimaklumkan bahawa penangguhan tidak dibenarkan.

“Selepas mendapat arahan daripada pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan sekiranya mahkamah ingin meneruskan rayuan pihak perayu (pendakwaan) akan menggunakan sepenuhnya hujahan bertulis yang difailkan pada 20 Jun lalu” kata Maziah.

Pada 7 September tahun lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dibebaskan setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri.

Pihak Pendakwaan kemudian memfailkan rayuan pada 18 September tahun yang sama.

bung-zizi

Bung Moktar (kiri) dan Zizie Izette sebelum ini mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Dia didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Pertuduhan ketiga Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.

Dalam pada itu, Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan dia melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Sebelum ini, pihak pendakwaan menyenaraikan tujuh alasan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan pasangan suami isteri itu selaku responden.

Pendakwaan berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menjalankan bidang kuasa semakan apabila membebaskan pasangan terbabit, selepas Mahkamah Sesyen memberi penilaian maksimum terhadap keterangan ketika kes pendakwaan. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram