TULAR satu video pada Sabtu memaparkan tindakan seorang individu menggunakan senapang bagi menembak mati burung gagak liar yang berterbangan di sebuah kawasan dipercayai sekitar Petaling Jaya, Selangor.
Menerusi klip berdurasi 21 saat itu, seorang lelaki yang sedang duduk di belakang kenderaan pacuan empat roda dilihat melepaskan tembakan ke arah kawanan burung gagak yang sedang berterbangan.
Seekor burung gagak yang menjadi sasaran individu tersebut kemudiannya dilihat terjatuh dipercayai selepas terkena tembakan tersebut.
Berdasarkan video berkenaan, burung itu juga didapati jatuh begitu hampir dengan lelaki berkenaan sehingga menyebabkan dirinya perlu mengelak daripada mengenai haiwan terbabit.
Melihatkan kepada situasi bahaya tersebut, terdapat segelintir warganet tampil mempersoalkan tahap keselamatan aktiviti tersebut memandangkan ia dilakukan di kawasan awam.
"Uishhh, open fire tempat awam boleh ke?" soal akhtar9.
"Nanti tak jatuh atas kenderaan lalu-lalang ke?" ujar jllmisai.
Bagaimanapun, beberapa netizen tampil menjelaskan bahawa aktiviti itu merupakan sebahagian daripada operasi dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani masalah kehadiran burung gagak di kawasan berkenaan.
Pada masa sama, sticker pada kenderaan terbabit juga memaparkan bahawa lelaki terbabit merupakan salah seorang peserta program operasi menembak gagak yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Poster mengenai operasi menembak gagak 2023 anjuran MBPJ.
Terdapat juga warganet mendakwa peserta terbabit turut ditawarkan bayaran bagi setiap gagak yang berjaya ditembak.
"Biasanya yang operasi tembak gagak dekat tengah bandar ni bawah kelolaan PBT," tulis sayasedangtweet.
"Memang akan dibayar, seekor gagak sekitar RM15 hingga RM25 tak silap. Peluru sebutir RM3.50. Boleh buat bisnes tau," ujar hazrey17.
"PJ (Petaling Jaya) ni memang bandar gagak. Bila waktu senja mula la bising mereka. Tahi jangan cakap la, bertempek je kesan putih atas jalan. Kena kat beg laptop pun penah sekali," kata _akimok.
Pom! Pom! pic.twitter.com/gNADTqVXc2
— Dean of Deen (@Mulut_Cabai) August 26, 2023
Media sebelum ini melaporkan operasi menembak gagak MBPJ yang berlangsung pada 22 Julai hingga 26 Ogos lalu dengan ia dibuka kepada 30 individu berkelayakan.
Berdasarkan kepada poster dikongsikan berkenaan operasi tersebut, antara syarat penyertaan adalah individu terbabit perlu memiliki lesen menembak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram