SELAMA setengah dekad lalu, Mohd Syafiq Aiman Sharulfizam yang berusia 21 tahun giat membina sebuah empayar kecil sebagai pempengaruh dalam industrr video permainan.
Pemuda dari Bandar Sri Damansara, Selangor, itu mengumpulkan lebih 1.2 juta pengikut di saluran YouTube dikenali sebagai Syafiq Aiman.
Tidak cukup dengan itu, dia juga menerima Anugerah Butang Main Emas dan memberikannya pendapatan lima angka.
Perkataan "Grind Till Achieve" - dicetak dalam font Pricedown, slogan yang diciptanya menggunakan akrostik GTA - ditampal pada poster tergantung di dinding pejabatnya di Menara 8trium.
Ia adalah satu penghargaan kepada permainan video yang memulakan kerjayanya sebagai pencipta kandungan dan membawanya kejayaan yang dia nikmati hingga hari ini iaitu Grand Theft Auto.
Grinding ialah istilah digunakan dalam budaya permainan video untuk merujuk kepada perbuatan mengulangi tindakan atau set tindakan untuk mencapai hasil yang diinginkan.
Itulah yang dilakukannya!
Setiap hari selama enam tahun lalu, Syafiq Aiman dan rakannya terdiri daripada editor video, Muhammad Harraz; penulis cerita, Muhammad Elham (aka ElhamTheInk) dan rakan kongsi permainan Daniel Shafiq (aka DanielZombie) telah menghasilkan video tanpa henti.
“Kami mungkin agak perlahan pada hari ini, tetapi itu semua berlaku semasa PKP. Kami menghasilkan dua video setiap hari,” kata Syafiq Aiman merujuk kepada tempoh semasa perintah kawalan pergerakan semasa pandemik Covid-19.
Poster yang tergantung di dinding di pejabatnya di Menara 8trium.
Menampilkan lebih 1,200 video, saluran YouTube Syafiq Aiman terdiri daripada permainan, vlogging, unboxing, ulasan dan video cabaran antaranya dibuat secara spontan, skrip atau ditulis sebagai cerita pendek.
Dalam temu bual dengan LevelUp, pencipta kandungan muda itu berkongsikan kisah bagaimana dia boleh terlibat dalam kerjaya tersebut.
“Saya memulakan penciptaan kandungan Youtube semasa di Tingkatan 3. Pada Disember, selepas peperiksaan PT3.
"Anda mungkin menganggap bahawa saya mahu menjadi seorang yang berpengaruh dan berusaha ke arah matlamat itu, tetapi ia tidak seperti itu, "katanya.
Ketika itu, dia antara segelintir daripada rakan kumpulannya di SMK Bandar Sri Damansara 1 yang mempunyai konsol PlayStation 4 di rumah.
“Pada masa itu, saya sentiasa bermain Grand Theft Auto dan kerana hanya satu atau dua daripada rakan sekelas saya yang mempunyai akses kepada PS4 atau permainan itu, mereka akan meminta saya merakam permainan itu supaya mereka dapat merasakan pengalaman bermain.
"Saya dengan senang hati bersetuju dan mula merakam klip untuk mereka tonton,” katanya yang cukup gemar bermain permainan tersebut.
“Pada masa sama, ada seorang guru di sekolah yang sentiasa meminta saya menyunting video kandungan untuk sekolah (kerja kursus) dan dia akan membimbing saya sepanjang proses.
"Ini benar-benar menarik minat saya dalam penyuntingan video, tetapi saya tidak mempunyai kandungan yang mencukupi untuk bekerja.
"Oleh itu, apabila rakan saya meminta saya membuat video permainan, saya terus memiliki perancangan untuk bukan sahaja merakam permainan saya tetapi untuk mula mengeditnya menjadi video boleh ditonton supaya saya dapat meningkatkan kemahiran penyuntingan saya.
"Dengan itu, sudah tentunya saya akan memuat naik video ini di YouTube supaya mudah untuk mereka menonton," ujarnya.
Menurut Syafiq Aiman, pada masa itu, terdapat sangat sedikit pempengaruh permainan video Malaysia di YouTube.
“Saya merakam, menyunting dan menyiarkan. Saya bernasib baik kerana PlayStation telah memperkenalkan ciri yang membolehkan pemain merakam permainan mereka, jadi ia memudahkan saya, dan saya akan menyiarkan sekurang-kurangnya dua rakaman ini sehari...itu semua saya buat selepas selepas peperiksaan," ujarnya.
Semasa cuti tahunan itu, salah seorang rakan sekolahnya, Azim Irfan mencadangkan dia membuat video berjudul Kembali Ke Sekolah, yang pastinya menyeronokkan untuk membuat persiapan kembali ke sekolah.
"Ia sangat rawak. Saya tidak mempunyai jalan cerita atau skrip. Saya terus mula merakam ... dan hari ini tontonan untuk video itu mencapai 1.2 juta!” kata Syafiq Aiman.
Syafiq Aiman menjelaskan bahawa sebelum video tersebut, hampir tidak ada orang yang benar-benar menonton video yang disiarkannya kecuali sekumpulan kecil pelajar di sekolah.
“Kemudian tiba-tiba, selepas Kembali Ke Sekolah, jumlah tontonan video saya mula meningkat.
"Dari ratusan hingga ribuan tontonan. Ia sangat mengejutkan. Siapakah mereka yang menonton video ini? Saya benar-benar bingung!” ujarnya.
Kembali Ke Sekolah menggunakan set dan adegan GTA dengan Syafiq Aiman memilih pakaiannya terdiri daripada seluar hijau sekolah menengah dan baju putih dan bersiap untuk ke sekolah.
Menerusi video tersebut, dia juga kemudian memilih jenama Ferrari sebagai kenderaannya.
Dalam kehidupan sebenar, Syafiq Aiman yang sememangnya menggemari kereta turut berkesempatan membeli kenderaan pertamanya ketika dia baru di Tingkatan 5 iaitu Honda Civic FE.
“Di platform dalam talian, ia seolah-olah dunia baharu terbuka untuk saya dan apa yang saya perlukan hanyalah imaginasi saya untuk membawa saya ke tempat lain.
"Saya boleh berpura-pura bahawa saya mempunyai banyak wang dan akses kepada perkara yang tidak saya miliki dalam kehidupan sebenar," ujarnya.
Menonton video Kembali Ke Sekolah hari ini, Syafiq Aiman mengakui dia sedikit segan.
“Saya tidak mengubah apa-apa pada video itu sejak ia dibuat pada Disember 2018 untuk pengajaran.
“Jadi anda tahu, kualiti video tidak terlalu baik, kualiti mikrofon tidak terlalu baik, saya hanya menggunakan apa sahaja yang saya boleh dapatkan.
“Saya tidak tahu cara bercakap dengan betul ketika itu. Saya baru berusia 15 tahun dan jika anda mendengarnya, tidak ada tenaga dan semangat!” ujarnya mengkritik kualiti videonya sendiri.
Bagaimanapun, selepas video itu, Syafiq Aiman memutuskan mahu membuat kandungan secara serius.
“Jika sesuatu yang menarik berlaku di sekolah atau kepada salah seorang rakan saya, saya akan menggunakan idea itu untuk mencipta cerita baharu.
“Rakan saya, Mohamad Elham juga sentiasa berkongsikan idea. Dia akan membangunkan jalan cerita dan kami akan melakonkannya dalam situasi GTA.
"Anda boleh menontonnnya seperti Dugaan Untuk Pulang Beraya, iaitu GTA 5 Raya Special atau Sekolah Baru Aku Berhantu.
“Sekiranya filem baharu dikeluarkan, kami akan turut serta, seperti Polis Evo, yang menghasilkan banyak video untuk kami, termasuk Tangkap Orang Langgar PKP Pakai Evo 100HP: Forza Horizon 4.
"Setiap 'episod' akan berdurasi selama kira-kira 20 minit atau lebih dan menampilkan saya secara solo, dengan rakan atau dengan sekumpulan kawan," katanya.
Setiap hari sejak enam tahun lalu, Syafiq Aiman dan kumpulan rakannya telah menghasilkan video tanpa henti.
Syafiq Aiman berkata, kebiasaannya permainan dan rakaman mengambil masa kira-kira tiga jam dan merupakan bahagian paling mudah daripada keseluruhan proses.
“Kebanyakan orang fikir saya bermain sepanjang hari, tetapi ini tidak berlaku sama sekali. Proses yang paling lama dan sukar ialah kerja penyuntingan,” kongsinya.
Selain daripada video permainan yang Syafiq Aiman kebanyakannya bekerjasama dengan kumpulan rakannya terdiri daripada bekas kawan sekolah, dia juga melakukan beberapa video unboxing dan ulasan alat permainan serta vlog bersama ayahnya.
“Ayah saya suka membeli-belah dan peminat Hypebeast, dia juga suka jam tangan. Jadi setiap kali dia keluar beli-belah, saya selalunya akan ikut dan buat vlog.
"Ayah saya dan saya mempunyai hubungan yang sangat rapat. Saya suka berkongsi dengan orang lain bagaimana kehidupan saya,” katanya.
Syafiq Aiman berkata, bapanya juga sangat menyokong pilihannya.
“Saya masih ingat pada zaman awal membuat video YouTube, saya pernah bertanya kepadanya sama ada dia akan membelikan saya mikrofon yang lebih baik, dan apabila dia mengetahui kegunaannya, dia gembira untuk menyokong saya.
“Mikrofon pertama yang saya beli ialah Blue Yeti dengan harga RM600, sudah tentu ditaja oleh ayah saya. Kemudian, saya meminta komputer, dan dia memberikan saya Macbook Pro.
"Jika dia tidak melakukan perkara itu, saya tidak pasti sama ada saya akan berada di tempat saya hari ini.
"Kami bukan keluarga yang sangat kaya, tetapi ayah saya sentiasa bersedia menyokong saya, menggalakkan saya, memberi saya idea, serta berhati-hati dan membetulkan saya setiap kali saya melakukan kesilapan,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Satu lagi minat Syafiq Aiman, selain permainan, gajet dan kereta ialah melancong.
Dia kini turut video perjalanan di saluran YouTube miliknya.
“Saya telah membuat empat atau lima perjalanan ke Jepun, dan ia sangat baik kerana saya dapat pergi ke pameran kereta, mencari mainan dan gajet terkini, serta mula mengusahakan kemahiran merakam perjalanan saya.
“Apatah lagi pengikut saya yang kebanyakannya dari Malaysia, Singapura dan Brunei nampaknya berminat dengan semua yang saya lakukan.
"Tiga tahun lalu, saya pergi ke Jepun dan membeli beberapa mainan Beyblade, dan video itu mendapat dua juta tontonan!” katanya teruja.
Menampilkan lebih 1,200 video, saluran YouTube Syafiq Aiman terdiri daripada kandungan permainan, vlogging, unboxing, ulasan dan video cabaran.
Mengenai cabaran, Syafiq Aiman berkata, untuk menghasilkan idea dan kandungan segar mungkin agak sukar.
"Selepas membuat begitu banyak video, ia menjadi agak sukar kerana anda tidak boleh mengulangi mana-mana kandungan itu. Saya tidak pernah benar-benar memikirkan tentang itu apabila saya mula.
“Saya juga terpaksa belajar melalui percubaan dan kesilapan mengenai penyuntingan dan penyiaran.
"Anda tahu, perkara seperti isu hak cipta. Tiada siapa yang membimbing saya, jadi saya terpaksa belajar semuanya sendiri sepanjang proses tersebut,” katanya.
Antara isu yang dihadapi menurut Syafiq Aiman adalah seperti penapisan bahasa.
“Saya dan rakan-rakan saya berbincang dan bercakap seperti biasa kami bercakap di sekolah atau ketika kami melepak.
“Tetapi sebagai pencipta kandungan dan pempengaruh, saya mula memahami bahawa kata-kata saya membawa banyak pengaruh kepada penonton saya dan saya tidak sepatutnya cuai dalam ucapan saya.
“Lagipun ramai penonton saya adalah pelajar sekolah muda. Oleh itu, sejak saya menyedari perkara ini, dan pada awal karier saya, saya telah menapis sendiri untuk memastikan bahawa video itu sesuai untuk ditonton semua peringkat umur,” ujarnya.
Perkara itu turut diprakrikkan dalam kehidupan sebenar.
"Sebaik sahaja saya keluar dari pintu setiap pagi, saya memakai 'topi kerja' saya dan saya menunjukkan tingkah laku terbaik, tersenyum dan menjadi diri saya yang terbaik dengan orang yang saya temui," katanya.
Syafiq Aiman berkata, seseorang pencipta kandungan juga memerlukan stamina mental yang tinggi untuk berada dalam bidang perniagaan tersebut.
“Kehidupan saya hari ini adalah berpandukan nombor. Setiap pagi, saya melihat pelanggan dan jumlah tontonan saya. Perjuangan saya adalah mengekalkan nombor ini.
“Selalunya terdapat penurunan, tetapi kemudian ia juga meroket. Itu perkara biasa. Cabarannya adalah untuk tetap tabah dan terus bekerja walaupun ada pasang surut,” katanya.
Syafiq bangga dipilih menjadi Duta PlayStation.
Dalam pada itu, antara pengalaman manis sepanjang kariernya adalah apabila dia berjaya menarik perhatian Sony yang mendekatinya untuk menjadi salah seorang duta PlayStation.
“Saya peminat PlayStation sejak kecil lagi. PSP, PS2, PS3, PS4 – Saya mempunyai semuanya dan saya sangat menyayanginya. Apabila saya memulakan saluran YouTube saya, saya menggunakan PS4.
“Apabila PS5 keluar dua tahun lalu, saya adalah salah seorang daripada mereka yang menunggu dalam barisan. Saya fikir saya adalah antara yang pertama mendapatkan PS5 di negara ini - nombor lapan jika saya tidak silap.
“Sudah tentu saya tidak sabar untuk membuat video unboxing dan tidak lama selepas video itu diterbitkan, Aku Orang Yang Bertuah Dapat Beli PS5 + Aksesori Set Penuh!, wakil pemasaran dari Sony menghubungi saya untuk bertanya sama ada saya akan suka membuat video promosi untuk pengembaraan aksi dunia terbuka Ghost Of Tsushima.
“Saya sangat teruja. Bayangkan orang dari PlayStation memanggil saya!” katanya.
Sejak itu Syafiq Aiman telah melakukan banyak video untuk PlayStation, termasuk ulasan, video unboxing dan juga pelancaran acara.
Dalam pada itu, Syafiq Aiman berkata, bahawa dia bersyukur kerana diberikan bakat untuk bercakap dengan ramah sejak kecil.
Sehubungan itu, turut berharap untuk mempunyai rancangan sendiri seperti Rancangan Steve TV Show oleh Steve Harvey.
“Ibu saya akan mendapat banyak aduan daripada sekolah semasa saya kecil kerana saya tidak akan berhenti bercakap.
"Bising sangat, cikgu-cikgu akan cakap. Siapa sangka bahawa celoteh tanpa henti itu akan menjadi rezeki buat saya!” ujarnya. — The Star/ANN MARIE CHANDY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram