Sampel DNA sepadan, jenazah Nur Farah Kartini diserah famili hari ini


  • 112
  • Khamis, 18 Jul 2024

Nur Farah Kartini akan dikebumikan di Pekan, Pahang.

POLIS mengesahkan wanita ditemukan mati dipercayai dibunuh di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang dekat Hulu Selangor, Selangor adalah Nur Farah Kartini Abdullah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, proses padanan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan sebelum ini sepadan dengan mangsa.

"Hasil DNA yang dipadankan adalah positif dengan Nur Farah Kartini, 25, yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa sebelum ini.

BACA LAGI: Wanita Miri hilang ditemukan mati, dipercayai dibunuh di Hulu Selangor

BACA LAGI: Abang tak putus harapan, keluarga di Sarawak terkedu terima khabar duka kematian Nur Farah Kartini

"Jenazah akan diserahkan pada kepada keluarga pada hari ini (Khamis)," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pada masa sama, satu tangkap layar hantaran WhatsApp dipercayai milik kakak ipar mangsa turut tular di laman media sosial.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Syeril Norsyuhada, jenazah Nur Farah Kartini pihak keluarga dalam perjalanan ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk membuat tuntutan jenazah.

"Assalamualaikum. Keputusan DNA baru sahaja keluar.

"Keputusan mengesahkan mangsa Nur Farah Kartini. Jenazah akan dibawa ke Pekan, Pahang untuk urusan pengebumian.

"Mohon sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah. Semoga dipermudahkan segala urusan arwah," tulisnya.

GSvLnAjacAEmJC9

Tangkap layar hantaran WhatsApp milik kakak ipar Nur Farah Kartini

Terdahulu, Majoriti melaporkan graduan UPSI yang dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan kira-kira 6 petang Isnin dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, pihak berkuasa turut menahan seorang lelaki yang juga seorang anggota polis berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim, Perak.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram