SEORANG pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian anggota tentera yang ditembak di Song, Sarawak pada 23 September lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengesahkan perkara itu ketika lawatan yang dibuat di negeri berkenaan baru-baru ini.
"Satu laporan polis sudah dibuat dan siasatan awal sedang dijalankan untuk mengenal pasti mereka yang terlibat. Ketika sesi taklimat dibuat, saya diberitahu Ketua Polis Sarawak mengenai penglibatan seorang pegawai polis dalam kes itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Anggota tentera selisih maut, tersangkut tiang lampu ketika mendarat guna payung terjun
BACA LAGI: Operasi Malbatt di Lubnan dihentikan, anggota tentera kena berlindung dalam 'bunker drill'
Saifuddin sudah menerima penjelasan mengenai penahanan pegawai polis berkenaan.
"Kertas siasatan sudah dibuka berhubung kes berkenaan, itu sahaja yang dapat saya sahkan setakat ini," katanya kepada pemberita semasa Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-76 di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Bandar Baharu, Kedah.
Sebelum ini, polis menahan dua lelaki untuk membantu siasatan kes kematian seorang anggota tentera yang ditembak ketika menjalankan latihan dalam kawasan itu.
Menurut Mancha, kedua-dua lelaki yang berusia 31 tahun itu ditahan pada hari kejadian dengan pihak polis sudah merampas selaras senapang patah dan beberapa peluru milik mereka.
"Siasatan mendapati mereka sedang memburu secara haram, salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan terhadap mangsa yang difikir haiwan liar dalam kejadian pukul 2.45 pagi itu," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram