TIGA lelaki ditahan berikutan penemuan rangka tulang wanita dipercayai Mira Sharmila Samsusah, ibu tunggal dikenali sebagai Bella, yang dilaporkan hilang lebih sebulan lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, ketiga-tiga suspek berusia 24 hingga 39 tahun itu direman dari 20 hingga 27 Januari.
“Bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail di Johor Baru pagi ini (Sabtu).
“Sampel patologi dari hospital telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk menjalankan penjujukan asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman, dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan ujian DNA terhadap sampel diambil dari lokasi penemuan rangka itu secepat mungkin.
BACA LAGI: Ajal ke tempat kerja, pengendali dron maut rempuh babi melintas di Tampin
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan kes tembak, tapi tragedi suami kelar isteri sebelum cederakan diri di Klang
Katanya, sampel DNA turut diambil daripada ibu dan kakak Bella untuk dianalisis.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada rangka ditemui itu adalah Bella atau individu lain.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek yang ditahan termasuk teman lelaki dan bapa saudara teman lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan rangka yang tidak sempurna itu.
Media turut melaporkan kakak Bella, Norhisham, 36, berasakan ada kemungkinan besar cebisan kain yang ditemukan pada rangka tidak sempurna adalah pakaian adiknya yang hilang pada 14 Disember lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram