
SATU operasi secara besar-besaran dilancarkan sekitar pusat perniagaan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor pada Sabtu yang menyasarkan kawasan dilaporkan dimonopoli pekerja asing.
Menurut laporan media tempatan, operasi diketuai Jabatan Imigresen Negeri Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia serta beberapa agensi lain.
Serbuan diadakan pada pukul 12.30 tengah hari dengan mereka menyasarkan premis perniagaan, pasar dan tingkat atas rumah kedai yang disewakan kepada warga asing.
BACA LAGI: Sindiket 'counter setting': SPRM jumpa hampir RM800,000 di kediaman 2 pegawai Imigresen gred rendah
Amirudin (tengah) mengesahkan operasi dilancarkan berikutan aduan orang ramai. — SelangorKini
Pihak berkuasa mendapati kebanyakan rumah kedai sudah diubah suai kepada bilik kecil yang boleh menempatkan sehingga lima ke tujuh individu dalam satu-satu masa dengan kadar sewaan serendah RM350.
Semasa serbuan dibuat, beberapa warga asing bertindak menguncikan diri masing-masing di dalam bilik atau menyorok di belakang papan dan baju terpakai sebagai taktik melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan operasi dijalankan berikutan aduan daripada orang ramai yang risau akan lambakan warga asing di kawasan berkenaan.
Operasi yang dilancarkan di bawah Majlis Keselamatan Negara Selangor melibatkan 455 pegawai dan ahli daripada pelbagai agensi, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Seramai 1,091 individu diperiksa dengan lebih separuh daripada mereka ditahan. — SelangorKini
Seramai 1,091 individu daripada pelbagai negara diperiksa ketika operasi berkenaan dengan 602 daripada mereka merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI), berusia dalam lingkungan 19 dan 53 tahun yang terdiri daripada 505 lelaki dan 97 wanita.
Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen seperti dokumen peribadi tidak lengkap dan melebihi tempoh visa ditetapkan dengan kesemua akan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan selanjutnya.
Amirudin berkata, operasi seperti itu akan terus dilancarkan untuk memastikan tindakan tegas diambil terhadap sesiapa yang cuba melanggar undang-undang negara. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram