DUA hari lagi sebelum perlawanan final Piala Futsal Malaysia 2024 akan berlangsung dengan dua pasukan pilihan musim ini iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor akan beradu kekuatan bagi mendapatkan trofi berprestij itu.
Skuad Harimau Selatan tampil dengan reputasi sebagai juara Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 2024 dengan merekodkan 13 kemenangan dan hanya sekali tewas untuk mengumpul 39 mata dalam saingan format liga dua pusingan (home & away).
Manakala, Gergasi Merah pula menjadi naib johan MPFL 2024 apabila meraih 33 mata dan hanya dibezakan enam mata dengan Harimau Selatan yang mengutip 39 mata selepas 13 perlawanan.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya nak main untuk Selangor', Razman Roslan kata bukan hanya sebab Hamidin suruh keluar
BACA LAGI: Piala Agong 2024: Selangor tetap hormati lawan, layak peringkat kalah mati bersama pemain SUKMA
Bercakap mengenai saingan final Piala Futsal Malaysia pula, JDT berhasil mara ke pusingan akhir selepas tidak berdepan terlalu banyak masalah menundukkan KL City 5-2 untuk mara dengan agregat 9-2.
Selepas meraih keputusan seri 4-4, pasukan kendalian Edgar Baldasso pula meraih kemenangan agregat 9-7 ke atas bekas juara final Piala Futsal Malaysia 2023, Pahang Rangers.
Menjelang pertemuan sengit JDT menentang Selangor pada 6 Oktober nanti, Majoriti menyenaraikan empat pemain tumpuan yang bakal menggegarkan Axiata Arena dekat Bukit Jalil, Kuala Lumpur;
1) Well Pereira
Well Pereira mendahului carta penjaring terbanyak Piala Futsal Malaysia. — Facebook/Selangor
Wellington Pereira Rodrigues Adao atau lebih dikenali sebagai Well Pereira menyertai pasukan Lembah Klang itu pada awal musim ini selepas cemerlang membantu Shah Alam City pada musim 2023.
Pemain kelahiran Brazil yang mencetak 15 gol dalam saingan MPFL dan empat jaringan Piala Futsal Malaysia 2023 untuk Shah Alam itu mengekalkan rentak cemerlangnya bersama Selangor pada musim ini.
Ia dapat dibuktikan apabila Well Pereira diumumkan sebagai penjaring terbanyak Selangor untuk MPFL 2024 susulan mencetak 15 gol dan berada di kedudukan pertama sebagai peledak terbanyak bagi saingan Piala Futsal Malaysia dengan tujuh gol.
Corak permainan berkelas dunia yang ditampilkan pemain berkenaan boleh menjadi duri dalam daging buat Harimau Selatan dan sekali gus mengaburi pertahanan JDT pada Ahad ini.
2) Awalluddin Mat Nawi
Awalluddin beraksi sebagai pivot buat Gergasi Merah. — Facebook/JDT
Pernah menyepi seketika pada 2022 berikutan masalah kecederaan kecederaan lutut yang dialami pada awal kempen musim berkenaan, Awalluddin Mat Nawi kini kembali menjadi bintang tumpuan arena futsal negara.
Awalluddin merupakan sebahagian daripada skuad Pahang Rangers yang menduduki tangga kedua MPFL 2022.
Pemain berusia 25 tahun berkenaan mendapat sentuhannya semula apabila menyertai JDT pada awal musim ini dan sejak itu, Awalluddin kembali mencabar kedudukannya sebagai pivot (penyerang) terbaik di Malaysia.
Anak jati Johor berkenaan membuktikan ketajamannya apabila menjadi penjaring terbanyak Piala Futsal Malaysia 2023 apabila setakat ini sudah meledak enam jaringan gol buat Harimau Selatan.
3) Syahir Iqbal
Syahir Iqbal (kanan) antara bintang muda meningkat naik. — Facebook/Selangor
'Ubi muda' Selangor, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan mula menyinar pada 2023 setelah mempamerkan aksi cemerlang bersama The Red Giants sehingga mendapat panggilan untuk menyertai kem kebangsaan.
Pemain berusia 19 tahun berkenaan juga semakin dicanang sebagai bintang utama skuad futsal negara satu hari nanti apabila membantu Selangor meraih pingat emas bagi saingan Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Syahir Iqbal yang berperanan sebagai ketua pasukan Selangor itu menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna apabila membantu skuadnya melakar kemenangan 2-0 untuk ke atas Sarawak.
Sesiapa yang mengikuti perkembangan futsal tanah air juga pasti masih mengingati bahawa pemain itu muncul sebagai wira buat The Red Giants apabila meledak gol kemenangan sehingga menyebabkan JDT mengalami kekalahan sulung musim MPFL 2024.
4) Mohd Ridzwan Bakri
Ridzwan Bakri pernah dinobatkan sebagai ‘Pemain Paling Bernilai’ saingan Piala Futsal Malaysia 2023. — Facebook/JDT
Pemain lincah, Ridzwan Bakri pernah mencetuskan kontroversi apabila perpindahannya ke pasukan Johor pada awal musim ini diselit dengan kisah 'ghaib' pada sesi latihan bersama bekas majikannya, Pahang Rangers.
Tempoh Ridzwan bersama rakannya iaitu Mahadir Harahap dikatakan 'hilang' itu dari latihan Pahang Rangers untuk satu tempoh dan dikesan menyertai Harimau Selatan pada awal msuim ini.
Ridzwan hadir ke Johor dengan reputasi yang cukup hebat apabila telah mengumpul keseluruhan 50 gol sejak MPFL diperkenalkan pada tahun 2019. Dia memainkan peranan penting dalam membantu Pahang Rangers muncul juara berganda pada musim lalu.
Malah, anak kelahiran Tawau, Sabah berkenaan turut dinobatkan sebagai ‘Pemain Paling Bernilai’ saingan Piala Futsal Malaysia 2023 yang menyaksikan dia turut menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir bertemu JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram