PEKERJAAN sebagai penghantar barangan atau dulu dikenali dengan panggilan 'runner' merupakan satu profesion yang semakin popular.
Permintaan terhadap perkhidmatan tersebut meningkat selari dengan kepesatan yang berlaku dalam dunia perniagaan dan e-dagang.
Pada masa sama, terdapat juga beberapa aplikasi dalam talian yang kini wujud menyediakan platform khusus buat pelanggan dan juga penghantar untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Bagaimanapun, perlu diakui, pekerjaan sebagai seorang penghantar barangan bukanlah satu pekerjaan yang mudah dilakukan.
Selain risiko keselamatan yang memerlukan mereka berada di atas jalan raya untuk tempoh cukup lama, seorang 'runner' juga mesti berdepan cabaran antaranya keadaan cuaca, pendapatan tidak menentu dan memenuhi kerenah pelanggan.
Namun bagi Muhammad Azhar Ahmad Tarmizi dari Pokok Sena, Kedah, kesemua perkara itu dianggap sebagai sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapinya untuk mencari rezeki.
Muhammad Azhar, 36, merupakan antara individu terawal menyediakan perkhidmatan penghantar barangan kepada penduduk di daerah tersebut sejak 2017.
Pada waktu itu, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, masih belum ramai pihak yang menyediakan perkhidmatan terbabit di kawasan berkenaan.
Ujarnya, permulaan menjalankan aktiviti tersebut juga berlaku secara tidak sengaja apabila dia membantu keluarga saudaranya menghantar makanan yang dijual mereka antaranya seperti kek, spageti dan donat.
Muhammad Azhar kini turut meluaskan perkhidmatannya kepada urusan lain termasuk menyelesaikan urusan di bank.
"Masa itu saya baru sahaja habis kerja di kantin lepas kontrak tamat. Jadi pada masa sama pun saya tolong keluarga bapa saudara saya yang ada buat makanan.
"Jadi saya buat sambilan dan di situ saya sedar yang permintaan terhadap perkhidmatan ini memang tinggi," katanya kepada Majoriti.
Sejak daripada itu, Muhammad Azhar yang juga dikenali sebagai Zaha Runner tidak menoleh ke belakang dan terus menjalankannya sejak tujuh tahun lalu sehingga hari ini.
Pada awal perkhidmatan, Muhammad Azhar memberikan fokus terhadap penghantaran makanan dengan menggunakan motosikalnya.
Bagaimanapun, dengan permintaan yang agak kurang stabil, dia kemudiannya meluaskan perkhidmatan diberikan termasuk mengambil upah menguruskan pembayaran lesen, cukai kereta dan motor serta urusan di bank dan pejabat tanah.
Rutin harian sebagai 'runner'
Berkongsi rutin hariannya, Muhammad Azhar berkata, tugasnya bermula kadang kala bermula seawal 4.30 pagi sekiranya terdapat permintaan untuk mengambil barangan dari stesen bas yang dikirimkan kepada pelanggan.
"Tapi pagi kadang tak tentu juga. Kadang saya ada pasar untuk beli barang basah. Lepas itu ada selit beli sarapan sekali. Bila masuk tengah hari pula, saya akan banyak terima pesanan beli makanan tengah di pejabat atau kilang.
"Kemudian lepas itu pukul 2 petang berhenti rehat. Lepas pukul 5 petang baru saya sambung balik untuk beli makan malam atau barang-barang kedai untuk orang nak masak. Kemudian dalam pukul 9.30 malam baru saya berhenti," ujarnya.
Menurut Muhammad Azhar, dia menjalankan perkhidmatan itu setiap hari tanpa cuti kecuali jika sakit atau perlu menghadiri sebarang acara atau kenduri.
Dalam pada itu, Muhammad Azhar mengakui bahawa pendapatan sebagai penghantar barangan sememangnya agak tidak menentu dengan anggaran purata yang diterimanya adalah sekitar RM2,000 hingga RM3,000.
Bagaimanapun, menurutnya, dia turut pernah mendapat pendapatan mencecah sehingga RM8,000 sebulan ketika permintaan terhadap perkhidmatannya melonjak tinggi sewaktu tempoh pandemik Covid-19.
Ralat tak dapat penuhi permintaan makanan terakhir pelanggan
Pada awal perkhidmatan, Muhammad Azhar memberikan fokus terhadap penghantaran makanan dengan menggunakan motosikalnya.
Sementara itu, Muhammad Azhar berkata, dia cukup bersyukur kerana sepanjang tujuh tahun bertugas sebagai penghantar barangan, dia tidak pernah mengalami pengalaman berdepan kemalangan sewaktu bekerja.
Namun, dalam tempoh tersebut, dia turut berdepan peristiwa sukar dilupakan apabila tidak dapat memenuhi hasrat terakhir makanan yang dipesan oleh seorang individu.
"Ada satu kejadian saya cukup tak dapat lupakan adalah apabila saya gagal tunaikan permintaan tempahan makanan terakhir seorang pelanggan wanita.
"Waktu itu masa PKP. Jadi saya agak sibuk hantar banyak barang. Kadang-kadang, ada sesetengah permintaan macam makanan yang macam ambil masa untuk cari. Jadi biasanya kita selesaikan pesanan yang lain dahulu.
"Cumanya masa itu saya tak tahu ia adalah hari terakhir dia yang juga duduk berdekatan rumah saya. Jadi, belum sempat saya balas mesej tempahan dia, kemudian saya tengok status suaminya maklumkan yang isterinya sudah meninggal dunia," ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Azhar berkata, dia pada masa ini masih selesa untuk bergerak sendiri tanpa bergantung kepada sebarang aplikasi sebagai penghantar barangan dengan mempromosikan khidmatnya di Facebook.
"Dulu masa awal-awal memang agak sukar sikit. Tapi sekarang ini bila orang dah kenal, memang banyak permintaan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram