Suspek kes rasuah bakal jalani ujian poligraf — SPRM


  • 112
  • Selasa, 01 Okt 2024

Ujian poligraf yang akan menjadi antara kaedah terbaharu untuk SPRM menjalankan siasatan terhadap individu terlibat dalam jenayah rasuah. — Gambar hiasan/Agensi

SUSPEK yang terlibat dalam jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa akan menjalani ujian poligraf bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketepatan ujian poligraf itu boleh mencapai sehingga 97 peratus dan dipercayai dapat menyelesaikan kes-kes berat.

Susulan itu, SPRM menubuhkan pasukan khas dilengkapi dengan peralatan moden dan canggih serta menjalani latihan khusus untuk membangunkan teknik atau cara penyiasatan sebagai usaha membanteras jenayah rasuah yang semakin berleluasa kini.

BACA LAGI: [VIDEO] Katanya berang ditegur merokok dalam kedai makan, lelaki naik angin pecahkan cawan kopi di Seremban Jaya

BACA LAGI: Uniknya trend beli barang 'bundle', bukan setakat kawal nafsu, elak membazir

6045010618097972576

SPRM menggunakan kaedah baharu dalam menangani kes rasuah di Malaysia. — Gambar hiasan

Sehingga Mac lalu, seramai 16 pegawai SPRM berjaya menerima perakuan sebagai pemeriksa poligraf selepas mengikuti pelbagai modul latihan termasuk ujian jenayah dan proses saringan selama tiga bulan.

Mereka juga menjalani latihan teori dan amali yang dikendalikan oleh lima tenaga pengajar dari Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Latihan Poligraf Bertauliah yang julung kali diadakan itu adalah dengan kerjasama Ameican Polygraph Association (APA) sekali gus menunjukkan komitmen SPRM untuk memperkukuh integriti serta usaha memerangi rasuah di Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penubuhan pasukan itu amat penting kerana corak jenayah rasuah pada masa kini dilihat semakin kompleks apabila penjenayah memanipulasikan teknologi termasuk menggunakan mata wang maya seperti bitcoin, Ethereum dan sebagainya untuk menyembunyikan pengeluaran wang.

"SPRM sentiasa peka terhadap aspek ini bagi memastikan pegawai berada selangkah ke hadapan daripada perubahan corak jenayah rasuah.

"SPRM juga telah membangunkan teknik dan metodologi penyiasatan seperti Siasatan Berasaskan Perisikan (IBI).

"Bahagian Forensik Teknologi SPRM juga sentiasa dilatih untuk menjalankan forensik seperti menjejaki transaksi kewangan dan pengubahan wang haram, dan sejak 2023, kami dilantik sebagai peneraju Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD)," katanya.

Tambahnya, KKFD ditubuhkan daripada agensi yang mempunyai makmal forensik digital, seperti CyberSecurity Malaysia (CSM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Peguam Negara (AGC), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata, ia merupakan platform terbaik untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran dan amalan terbaik semasa menjalankan penyiasatan digital.

Menurut Azam, kerjasama strategik membanteras rasuah itu dilakukan melalui penubuhan Pasukan Khas Siasatan Jenayah Kewangan oleh Bahagian Analisis Kewangan (BAK) SPRM.

"Pasukan ini turut disertai Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM), Akauntan Negara Malaysia (ANM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Institut Akauntan (MIA), Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Institut Malaysia (MAICSA) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU)," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram