Tun Daim sedia didakwa walaupun masih di hospital, tegas Toh Puan Na’imah


  • Massa
  • Rabu, 24 Jan 2024

Na'imah (tengah) berkata, kenyataan dibuat oleh Azam yang mendakwa Daim seperti mengelak daripada didakwa dengan dimasukkan ke hospital adalah sesuatu yang 'palsu dan nakal'.

DATIN Toh Puan Na'imah Khalid menolak laporan mengatakan suaminya, Tun Daim Zainuddin sudah dimaklumkan mengenai pendakwaan yang bakal dihadapinya.

“Saya boleh mengesahkan bahawa saya sendiri mahupun pasukan peguam kami tidak pernah dimaklumkan bahawa Daim akan didakwa atas sebarang kesalahan.

“Kami hanya diberitahu bahawa satu kenyataan akan dirakam daripadanya.

"Hanya hari ini, membaca laporan berita, saya mengetahui Daim akan didakwa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Na'imah berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, yang memaklumkan agensi itu diberi kebenaran untuk mendakwa Daim yang juga bekas Menteri Kewangan itu.

Bagaimanapun, Azam berkata, proses itu tidak dapat dilakukan kerana Daim dimasukkan ke hospital atas sebab kesihatan yang tidak dinyatakan.

Beliau juga berkata, peguam Daim sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

BACA LAGI: SPRM sudah boleh dakwa Tun Daim, tapi dia masuk hospital — Azam Baki

Interview with Tun Daim Zainuddin at Menara Ilham, Kuala Lumpur.

Tun Daim Zainnuddin.

Dalam pada itu, Na'imah berkata, kenyataan dibuat oleh Azam yang mendakwa Daim seperti mengelak daripada didakwa dengan dimasukkan ke hospital adalah sesuatu yang 'palsu dan nakal'.

"Ia adalah satu kenyataan yang berbentuk penghinaan kepada doktor yang berdedikasi dan profesional di hospital ini," katanya.

BACA LAGI: Isteri Tun Daim didakwa kerana gagal isytihar aset

Na'imah menambah, suaminya bersedia menghadapi sebarang pertuduhan yang dikemukakan.

“Biar saya nyatakan dengan tegas bahawa Daim bersedia untuk menghadapi sebarang pertuduhan, di mana-mana, dan akan bersungguh-sungguh membela diri mengikut undang-undang.

“Dia telah dimasukkan ke wad dan sedang menjalani rawatan.

“Tertakluk kepada kebenaran pihak hospital dan pasukan perubatan, Daim bersedia menghadapi tuduhan politik ini di hospital itu sendiri.

"Kami akan menyerahkan perkara ini kepada Azam dan SPRM untuk membuat keputusan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram