Premis GISBH diarah tutup, aset dirampas — MB Selangor


  • Primer
  • Sabtu, 28 Sep 2024

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan proses tindakan lanjut berkaitan isu GISBH dipercepatkan.

KERAJAAN Selangor mengambil tindakan dengan mengarahkan semua premis GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri itu ditutup serta merampas segala aset syarikat berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau sendiri akan mengumumkan pada Rabu ini jumlah keseluruhan premis termasuk rumah perlindungan dan sekolah agama berkaitan GISBH di negeri itu.

"Rumah-rumah pelindungan yang ada kaitan dengan GISBH memang kita arah tutup serta-merta termasuk sekolah agama.

BACA LAGI: 'Tackle kasar' diganti sentuhan, ragbi rimau minimal kecederaan, sesuai dimainkan murid sekolah

BACA LAGI: Wanita warga Australia antara 4 isteri Ahli Lembaga Pengarah GISB direman seminggu

"Itu memang tindakan segera yang sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor dan polis. Kalau ada lagi maklumat-maklumat kita akan pergi (serbu dan tutup),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Rumah Idaman, Putra Idaman dan majlis pecah tanah Saujana Idaman di Cyberjaya pada Sabtu.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan membantu kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH dalam pelbagai aspek, terutama dalam hal berkaitan pendidikan.

"Saya juga nak tengok pada Isnin nanti nasib anak-anak (GISBH) yang tidak bersekolah ataupun yang ditahan oleh pihak berkuasa sekarang.

"Isunya (adalah) isu pendidikan dan masa depan mereka yang penting, kerajaan negeri akan cuba bantu nanti sebab itu keutamaan kita,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan proses tindakan lanjut berkaitan isu GISBH dipercepatkan.

Amirudin sebelum ini dilapor berkata kerajaan negeri akan menguatkuasakan larangan pengoperasian premis kepada GISBH selepas memperoleh laporan penuh daripada polis dan Jawatankuasa Agama Islam negeri.

Pada 11 September lepas, menerusi Op Global, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH kerana didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa telah diselamatkan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram