
MAJLIS Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan menyusun semula kedudukan peniaga trak makanan, penjaja dengan kanopi dan penjual dari but kereta yang beroperasi di sekitar Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, Selangor.
Pengarah Jabatan Pelesenan Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK), Zate Aziana Abdul Rahman berkata, terdapat 90 peniaga yang kini berniaga secara berselerak di kawasan tersebut.
Menurutnya, majlis tempatan kini memberi tumpuan untuk mengehadkan bilangan peniaga dan kawasan yang dibenarkan.
BACA LAGI: [VIDEO] Penjaja warga asing tak serik-serik, tetap berniaga meski dah beberapa kali disita
BACA LAGI: [VIDEO] Tidak sampai sebulan DBKL gempur ibu kota, penjaja warga asing masih bermaharajalela
"Kebanyakan penjual mula berniaga di tapak tersebut pada 2020. MBDK merancang untuk menyediakan zon perniagaan di sekeliling kompleks sukan, selari dengan Persiaran Raja Muda Musa, untuk mewujudkan kawasan penjaja," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, tidak semua 90 peniaga akan mendapat peluang untuk berniaga di tapak yang dibenarkan selepas penyusunan semula.
Jelasnya, hanya 55 peniaga akan diberi peluang secara adil melalui cabutan undi.
MBDK akan menyusun semula kedudukan peniaga yang beroperasi di sekitar Kompleks Sukan Pandamaran.
"Selepas lawatan tapak dan perbincangan panjang, jabatan kami telah memutuskan bahawa hanya 15 lot akan diperuntukkan untuk trak makanan, 15 untuk jualan but kereta dan 25 untuk penjaja dengan kanopi.
"Semua 55 peniaga akan dibenarkan berniaga dari pukul 5 petang hingga tengah malam, Jumaat hingga Ahad," ujarnya.
Jelas beliau, peniaga tidak dibenarkan berniaga di kawasan luar kolam renang dan tempat letak kereta.
"Mereka yang cuba berniaga di tapak lama akan dikenakan kompaun dan trak atau barang-barang mereka akan disita.
Zate Aziana berkata, lesen sementara selama tiga bulan akan dikeluarkan dan lot tersebut tidak bersifat kekal.
"MBDK memberi peluang kepada orang ramai untuk mencari rezeki. Kami akan mempromosikan kawasan ini untuk 'pelancongan gastronomi' bagi menarik lebih ramai pelawat.
"Kami yakin pelancong dalam perjalanan ke Pulau Ketam akan singgah untuk menikmati makanan di sini (kawasan Pandamaran)," katanya.
Beliau menambah, para peniaga dijangka memulakan semula perniagaan pada 4 Oktober depan.
Sementara itu, di Jalan Tun Dr Ismail, Taman Sri Andalas, Zate Aziana berkata , seramai 11 penjaja yang berada dalam lingkungan 50 meter (m) dari SMK Sri Andalas akan dipindahkan lebih jauh ke hadapan.
Ujarnya, tindakan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan memudahkan pergerakan penduduk yang berjalan ke Taman Rakyat, sebuah kawasan rekreasi.
"Jabatan Pelesenan kami telah mengaudit penjaja bergerak di sepanjang jalan tersebut.
"Di tapak tersebut, terdapat 30 trak makanan dan gerai peniaga. Kami akan menyesuaikan semua dengan pelarasan di tapak tersebut.
"Semua peniaga akan diberikan lesen sementara selama tiga bulan," katanya.
Berhubung pasar malam di Jalan Teruntum, Kapar pula, iaitu gerai yang diusahakan oleh warga asing, Zate Aziana berkata, lot tersebut didaftarkan di bawah nama penduduk tempatan tetapi telah disewakan kepada pendatang asing.
"Daripada 129 lot, kami dapati kira-kira 90 tapak diusahakan oleh pendatang asing," maklumnya.
Beliau berkata, MBDK melakukan serbuan sebanyak dua kali pada Ogos dan telah menutup pasar malam itu untuk menangani isu tersebut.
Jelas Zate Aziana, majlis bandar raya kini menawarkan lot pasar malam di Jalan Paip, Jalan Kluang dan Jalan Pengasah, yang berada dalam lingkungan 4.3 kilometer (km) hingga 9km dari Jalan Teruntum, untuk mereka yang benar-benar mahu berniaga.
"Selain itu, untuk mengelakkan penyalahgunaan tapak perniagaan pasar malam, lesen hanya sah untuk tempoh tiga bulan," tambahnya. — The Star/EDWARD RAJENDRA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram