16 rangkaian runcit tidak lagi sediakan beg plastik buat pelanggan bermula 1 Oktober


  • Primer
  • Khamis, 26 Sep 2024

16 rangkaian kedai runcit di seluruh negara telah berjanji untuk berhenti menyediakan beg plastik sekali guna mulai Selasa depan.

SEBANYAK 16 rangkaian kedai runcit di seluruh negara berjanji untuk berhenti menyediakan beg plastik sekali guna kepada pelanggan mulai Selasa depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Nga Kor Ming berkata, rangkaian runcit yang mempunyai kira-kira 8,000 cawangan di seluruh negara itu berikrar untuk membantu Malaysia mencapai matlamatnya iaitu menghapuskan plastik sekali guna menjelang 2030.

Ia dibuat sebagai sebahagian daripada kempen 'Katakan Tidak kepada Plastik Sekali Guna' yang dilancarkan oleh kementerian.

BACA LAGI: Kandungan gugur dan bayi kurang berat antara risiko ibu hamil kerap hadam kafein

BACA LAGI: Retak tulang belakang tak halang anak jati Johor tawan puncak ABC, sedang buat persiapan menuju Everest

6316843006682054396

Tiada lagi penggunaan plastik beg sekali guna di 16 rangkaian kedai runcit terkenal di Malaysia.

“Semua pelanggan di kedai berkenaan tidak lagi diberikan beg plastik sekali guna.

“Kami menggalakkan semua rakyat Malaysia menyokong usaha ini dan sebaliknya membawa beg runcit mereka sendiri.

“Usaha ini juga akan membantu mengurangkan sebanyak 200 juta plastik sekali guna di Malaysia setiap tahun.

“Bumi bukan milik kita tetapi hanya pinjaman semata, jadinya tanggungjawab semua orang untuk menjayakan kempen ini,” katanya.

16 cawangan yang berjanji untuk menyertai kempen itu ialah 7-Eleven, 99 Speed ​​Mart, AEON Big: AEON, Econsave, Giant, Cold Storage dan Mercato; Guardian, KK Mart, Lotus, Lulu, Mydin, TF-Value Mart, The Store, Watsons, Emart24 dan NSK Trade City.

Selain itu, Persatuan Peruncit Malaysia, Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia, Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia dan Pusat Beli-belah 1 Utama juga termasuk dalam janji itu.

Nga berkata, beberapa peruncit telah memulakan kempen serupa lebih awal lagi.

Tambahnya lagi, negara membelanjakan lebih RM2 bilion setahun untuk menguruskan tapak pelupusan sampah dan kebersihan awam.

Beliau berkata, rakyat Malaysia menghasilkan 14.5 juta tan sisa setiap tahun.

"Ini adalah cabaran besar kepada kerajaan terutamanya dalam hal pengurusan sisa negara," katanya. — TheStar/GERARD GIMINO

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram