Program Anak Kita terima peruntukan RM100 juta atasi keciciran pelajaran — PM Anwar


  • Primer
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Program Anak Kita merupakan usaha tambahan setelah mengenal pasti jumlah keciciran yang membimbangkan. — Gambar hiasan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengumumkan peruntukan berjumlah RM100 juta untuk Program Anak Kita.

Memetik laporan Malaysia Gazette, Anwar menjelaskan bahawa peruntukan tersebut diberikan bagi meringankan beban tanggungjawab Kementerian Pendidikan yang sedia ada.

“Saya berharap kemudahan ini dimanfaatkan sepenuhnya. Ibu bapa perlu memikul tanggungjawab mereka. Guru-guru sudah cukup terbeban kerana mereka bertanggungjawab untuk menyelamatkan anak bangsa yang tercicir,” katanya.

“Anak-anak harus memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin. Tiada alasan mengapa kita tidak dapat bangkit dan bernafas semula,” katanya dalam video sempena ucapan perasmian Reformasi Pendidikan Program Anak Kita Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor.

BACA LAGI: Kontroversi waktu ‘check-in’, ‘check-out’ hotel kini dalam pemerhatian Motac

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Fadhlina sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan, melalui Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan, akan melaksanakan program pemulihan pembelajaran untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi Program Anak Kita.

Dalam pada itu, Anwar menyatakan bahawa program berkenaan adalah usaha tambahan setelah mengenal pasti jumlah keciciran yang membimbangkan.

Beliau menjelaskan bahawa keciciran bukanlah isu baru, tetapi semakin rumit dan mencabar apabila Malaysia berdepan dengan masalah pasca Covid-19.

“Anak-anak bangsa tidak boleh dibiarkan tercicir. Mereka mesti diberikan segala kerjasama dan bantuan untuk meningkatkan keupayaan, serta diberikan ruang dan peluang kedua,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram