KANCAH bola sepak tanah air kini dihiburkan dengan kehadiran pemain-pemain import yang dibawa masuk oleh beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M).
Antara pasukan yang kini dilihat giat membawa masuk wajah-wajah baharu adalah seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC.
Kehadiran bintang-bintang import dilihat dapat menarik lebih ramai penonton untuk hadir ke stadium dan meningkatkan minat terhadap bola sepak.
BACA LAGI: Anak jati Kedah hampir pasti tinggalkan Pantai Timur, kembali ke pangkal jalan
Begitupun, tidak semua pemain import yang dibawa masuk sering menampilkan prestasi cemerlang dan ada daripada mereka yang bergelut dalam mencari rentak permainan.
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain Timur Tengah yang pernah bergelut di Liga Super:
Baha' Abdel Rahman pada musim lalu menjadi antara kuda tua import yang tidak menjadi hingga digugurkan Selangor FC. — Facebook
1. Baha' Abdel Rahman
Bekas penyerang Selangor FC, Baha' Abdel Rahman merupakan pemain yang berpengalaman dalam menghadapi cabaran besar semasa beraksi dengan Selangor FC.
Meskipun memiliki kemahiran yang tinggi, Baha' terpaksa bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama kerana perlu berhadapan dengan persaingan sengit daripada pemain lain dalam pasukan.
Isu konsistensi dalam prestasi dan beberapa kecederaan mungkin menyumbang kepada cabaran yang dihadapinya kerana pemain berketinggian 1.77 meter itu tidak menonjol seperti yang diharapkan.
Beraksi bersama Gergasi Merah selama selama semusim, Baha' yang merupakan pemain kebangsaan Jordan itu hanya tampil 17 perlawanan dan dua assist dalam saingan Liga M.
Kini, dengan usianya sudah lanjut, dia sudah tidak lagi beraksi selepas mengumumkan persaraan tidak lebih daripada dua musim selepas meninggalkan Selangor FC.
Ataya pemain import paling cemerlang dalam saingan Liga Malaysia musim 2020 dalam membantu pasukan UiTM menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam. — Facebook
2. Rabih Ataya
Bekas penyerang sayap Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rabih Ataya merupakan pemain yang pernah mewarnai skuad Sang Kenari pada musim 2021.
Ataya yang juga pemain kebangsaan Lubnan dan bekas tonggak import UiTM FC itu sebelum ini diikat oleh pasukan Hijau Kuning pada November 2019 bagi membantu memperkuatkan jentera serangan Kedah bagi musim 2020.
Meskipun memiliki pengalaman beraksi bersama pasukan kebangsaan Lubnan namun Ataya dilihat bergelut untuk mendapat tempat dalam saingan Liga M.
Malah harapannya untuk mencipta impak besar ketika berada di Kedah tetap terhalang oleh faktor kecederaan dan ketidakstabilan prestasi.
Tampil dalam 18 penampilan, Ataya hanya sempat menjaringkan dua gol dan empat 'assist' bersama Sang Kenari.
Dia kini masih beraksi di peringkat antarabangsa kerana baru-baru ini beraksi buat negara Timur Tengah itu dalam kempen Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Yashir Pinto pernah mencipta nama bersama kelab dalam Liga M ketika masih beraksi di Malaysia. — Facebook
3. Yashir Islame Pinto
Pemain sayap Palesin, Yashir Islame Pinto pernah bergelut dalam menyesuaikan diri dengan corak permainan beberapa pasukan Liga M.
Kecederaan dan persaingan sengit dalam skuad menyebabkan penyerang berketinggian 1.83 meter itu bergelut untuk menunjukkan potensi sebenar.
Pemain sayap berusia 33 tahun itu sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan di dalam saingan Liga Malaysia seperti Melaka United, Perak FC dan PKNP FC pada musim 2017 hingga 2020.
Yashir kini beraksi bersama kelab Liga 1 Thailand, Rayong FC yang baru sahaja dibawa masuk awal Julai tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram