GURU seringkali dianggap sebagai wira yang tidak didendang, mendidik dan membimbing generasi muda tanpa mengharapkan balasan.
Namun, dalam satu insiden cemas yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Sekinchan, Selangor lebih dua dekad lalu membuktikan jasa seorang guru bukan sahaja melebihi tanggungjawab hariannya apabila beliau sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan pelajarnya daripada serangan lelaki yang mengamuk.
Kejadian yang berlaku pada hari itu mencetuskan suasana cemas, di mana keberanian guru tersebut menjadi benteng perlindungan terakhir bagi pelajar-pelajarnya.
BACA LAGI: Wira tanpa suara: Anjing perang dan pengorbanan di sebalik misi menentang komunis
Tindakan tanpa mementingkan diri ini menunjukkan bahawa peranan guru bukan hanya di dalam kelas, tetapi juga sebagai pelindung yang sanggup meletakkan nyawa di hujung tanduk demi keselamatan anak didik mereka.
Norzah Abd Ghani
Walaupun Norzah Abd Ghani tidak pernah menganggap dirinya sebagai wirawati, tindakan spontan dan keberaniannya membuatkan beliau dikenang sebagai hero dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat.
"Jika difikirkan semula, jangan bertindak seperti yang saya lakukan kerana jika saya fikir panjang ketika itu, saya sendiri tidak berani lakukannya.
"Tetapi ketika itu dalam keadaan terdesak, terutama melihat anak-anak didik saya dicederakan, saya hanya fikir keselamatan mereka dan saya yakin saya dapat lakukan sesuatu untuk menyelamatkan mereka dan saya tahu ada orang lain yang akan membantu saya.
"Tetapi, sekiranya sekali lagi insiden seumpama itu di sekolah, saya ingin memberi pandangan agar para guru yang lain untuk 'membaca situasi yang berlaku' terlebih dahulu sebelum bertindak dan mendapatkan pertolongan. Apa yang saya buat ketika itu ialah melengah-lengahnya tindakan penyerang sementara bantuan datang," katanya kepada Majoriti.
Mengimbau kembali kejadian yang berlaku di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yoke Kuan, Sekinchan, wanita berusia 59 tahun itu meluahkan rasa syukur kejadian itu tidak melibatkan kematian walaupun ada beberapa pelajar yang cedera.
Norzah bersama salah seorang muridnya yang kini bergelar seorang doktor.
Ketika kejadian, dia yang berada di salah satu bangunan sekolah bergegas ke perkarangan selepas terdengar jeritan meminta tolong sebelum melihat lelaki tersebut secara tiba-tiba membakar motosikal dan menyerang murid-murid.
"Saya terus bergegas ke tempat kejadian dan berdepan dengan individu tersebut. Saya cuba menenangkannya dalam bahasa Mandarin.
"Ko Ko, shen me shi? (Abang, apa yang terjadi)...tanya saya kepadanya. Namun, individu tersebut tetap mendiamkan diri dan cuba menyerang saya dengan parang.
"Dia kejar saya keliling meja kantin tapi pada ketika itu saya cuba bertenang dan terus memujuk dia sehinggalah bantuan tiba," katanya.
Usai daripada peristiwa itu, hubungan Norzah dengan anak muridnya menjadi semakin akrab. Malah ada dalam kalangan pelajar yang masih menghubunginya sehingga kini.
"Saya masih lagi berhubung dengan anak-anak didik saya malah telah pun dianggap sebagai nenek kepada anak anak mereka.
"Malah, suatu ketika dulu ada antara mereka yang menyambung pelajaran di universiti dekat dengan rumah saya, mereka akan berulang datang ke rumah saya sehinggalah mereka bekerja, berkahwin dan berkeluarga, "katanya dengan gembira.
1001 satu cerita, SMJK Yoke Kuan menyimpan memori manis buat Norzah.
"Mujurlah dengan adanya media sosial, sekarang ini kami saling berhubung antara satu sama lain. Saya melihat mereka mempunyai rasa hormat antara satu sama lain dan bangga dengan pencapaian mereka.
Bercerita lanjut, Norzah menjelaskan walaupun dia sudah tidak mengingati peristiwa itu namun kenangan sepanjang mengajar di sekolah itu sudah pasti tidak dapat dilupakannya.
"Ada satu peristiwa yang terkesan dalam jiwa saya selepas insiden itu ialah apabila saya mengutarakan ada pertandingan nasyid bertemakan Anti Dadah di peringkat daerah kepada anak murid saya (murid kelas).
"Saya tanya sekolah kita (Yoke Kuan) nak masuk tak...tapi saya tak cukup orang tetapi anak murid saya yang berbangsa Cina sukarela untuk membantu walaupun ia adalah pertandingan nasyid.
"Mereka bersungguh-sungguh berlatih menyanyi lagu nasyid hingga menjadi Juara.
"Bayangkan SJKC menjuarai pertandingan nasyid yang hanya ada lima orang murid lelaki Melayu dan lainnya adalah berbangsa Cina yang memakai baju melayu dan bersongkok. Perkara ini amat menyentuh hati saya kerana semangat perpaduan dan muhibbah wujud dengan sendirinya dalam diri mereka setelah peristiwa itu," ujarnya dalam nada sayu.
Norzah ketika mengendalikan satu program ceramah klinik de'stress, 'laugh your stress away'.
Walaupun Norzah kini, sudah tidak bergelar tenaga pengajar, dia menjadikan pengalaman tersebut dalam modul ceramahnya klinik de'stress, 'laugh your stress away', terapi emotrance, pengurusan kemarahan, kemahiran kecerdasan emosi dan sebagainya melalui syarikat konsultan MindRevolution miliknya.
Melalui MindRevolution, saya dan pasukan yang lain menggunakan pendekatan psikologi dalam menguruskan isu-isu kehidupan, organisasi dan cabaran yang berkaitan dengan tingkahlaku, emosi dan pemikiran manusia.
"Selain itu, saya juga mengetengahkan aplikasi kemahiran ketara sedar dan teknik imageri mental yang digunakan dalam sukan, komunikasi berkesan dan sebagainya.
"Ini termasuklah latihan Terapi Ketawa (Laughter Yoga) yang telah kami sesuaikan dengan masyarakat Malaysia. Terapi ketawa ini adalah antara yang paling banyak permintaan," jelas Norzah lagi.
Menutup bicara, Norzah menyampaikan hasrat dia ingin terus menyumbang tenaga dan kemahirannya kepada masyarakat selagi diperlukan.
"Jika ada yang perlukan bantuan dan bimbingan saya akan bantu dengan ikhlas," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram