Hampir mati dipatuk demi antivenom, 'eksperimen gila' ahli biologi Brazil pijak 40,000 ular berbisa


  • 112
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Alves-Nunes (gambar kecil) sanggup melakukan eksperimen gila memijak ular Bothrops Jararaca yang merupakan spesis ular berbisa. — Agensi

SEORANG ahli biologi dari Pusat Penyelidikan Butantan, Joao Miguel Alves-Nunes, mencipta sejarah dalam dunia penyelidikan ular berbisa dengan menggunakan kaedah luar biasa untuk memahami kesan patukan ular berbisa.

Walaupun dianggap kerja gila, inovasi yang diusahakannya di pusat penyelidikan terkemuka, Butantan Research Centre di Sao Paulo, Brazil itu menarik perhatian ramai pakar toksikologi di seluruh dunia.

Manakan tidak, ahli biologi muda itu sanggup menggadai nyawanya sendiri dengan memijak ular Bothrops Jararaca yang merupakan spesies ular berbisa.

BACA LAGI : 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

BACA LAGI : [VIDEO] 'Sampai kiamat kita sendiri', bapa terkorban nahas pesawat terhempas tidak lemahkan semangat Perajurit Muda Indiran

Difahamkan, reptilia tersebut sangat ditakuti penduduk di Tenggara Brazil kerana sangat berbisa.

Malah, melalui kajian itu, Alves-Nunes telah memijak lebih daripada 40,000 ular Bothrops Jararaca berkenaan dengan but pelindung yang direka khas.

jovem-andreense-cobra

Alves-Nunes sebelum ini pernah dipatuk ular Rattlesnake dan malangnya, dia didapati mempunyai alahan kepada antivenom dan toksin ular berkenaan sehingga menyebabkan dia dimasukkan ke hospital dalam tempoh lama. — Agensi

Namun, sepanjang eksperimen dijalankan, ular-ular itu tidak dicederakan.

Lebih menarik lagi, penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports, memberikan pandangan penting mengenai insiden patukan ular di Brazil, yang menyumbang kepada sebahagian besar daripada 20,000 kes yang dilaporkan setiap tahun di negara tersebut.

Menurut Alves-Nunes, dia sendiri telah melakukan eksperimen tersebut dengan menguji sebanyak 116 haiwan itu.

"Setiap seekor akan dipijak sebanyak 30 kali dan selepas beberapa hari, sebanyak 40,480 kali pijakan terhadap haiwan berbisa itu telah direkodkan," katanya.

Dalam eksperimen itu, ular Bothrops Jararaca akan diletakkan dalam sebuah kotak khas berkeluasan dua meter persegi.

69124532_1004

Hasil daripada kajian dan eksperimen itu mendapati ular berbisa Bothrops Jararaca yang saiznya lebih kecil dari haiwan berbisa yang lain lebih cenderung untuk mematuk.— Agensi

Selepas tempoh penyesuaian selama 15 minit, Alves-Nunes akan menghampiri ular tersebut dengan lembut lalu memijak kepala, bahagian tengah badan, atau ekornya.

Menurutnya, dia berasa selamat kerana tiada gigitan yang berjaya menembusi but berkenaan dan setiap eksperimen akan dipantau oleh rakan sepasukan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, Alves-Nunes memaklumkan sebelum ini dia pernah dipatuk ular Rattlesnake dan malangnya, dia didapati mempunyai alahan kepada antivenom dan toksin ular berkenaan sehingga menyebabkan dia dimasukkan ke hospital dalam tempoh lama.

Tingkah laku patukan ular berbisa

Hasil daripada kajian dan eksperimen itu mendapati ular berbisa Bothrops Jararaca yang saiznya lebih kecil dari haiwan berbisa yang lain lebih cenderung untuk mematuk.

Selain itu, ular betina spesis sama secara amnya lebih agresif dan lebih cenderung untuk mematuk, terutama ketika waktu siang.

Bukan itu sahaja, melalui penyelidikan yang dijalankan selama beberapa hari itu turut menunjukkan reptilia berkenaan lebih cenderung untuk mematuk pada suhu yang lebih tinggi, manakala ular jantan lebih suka melarikan diri dan kurang mematuk pada waktu malam.

69124504_906

Ular betina Bothrops Jararaca secara amnya lebih agresif dan lebih cenderung untuk mematuk, terutama ketika waktu siang.— Agensi

Penemuan itu mempunyai implikasi penting untuk pengedaran antivenom

Para penyelidik berharap data berkenaan akan membantu meningkatkan pengedaran antivenom, yang sering diperuntukkan kepada hospital yang lebih besar, sehingga pesakit yang dipatuk perlu melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.

Pada masa sama, melalui gabungan data tersebut dengan kajian lain, penyelidik juga berharap mereka dapat mengenal pasti kawasan di mana ular lebih cenderung menjadi agresif sekali gus memastikan antivenom daat disediakan di lokasi yang paling memerlukan.

Hal itu bertujuan untuk meningkatkan tindak balas kesihatan awam, menyelamatkan nyawa, dan mengurangkan beban pada sistem penjagaan kesihatan.

Memberi contoh, Alves-Nunes menekankan lokasi yang lebih panas dengan pembiakan ular betina yang lebih tinggi harus diutamakan untuk pengedaran antivenom. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram