'Terima kasih, Noor Shaik', berbekalkan getah rambut, pelajar medik ubah cara layanan hospital AS terhadap pesakit


  • Massa
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Program PennHOPES dapat membantu memberi keselesaan dia samping menggembirakan pesakit ketika berada di hospital. — Agensi

SIAPA sangka kebaikan sebesar zarah mampu mengukir senyuman di bibir dan memberi sinar dalam hidup seseorang.

Berbuat baik kepada orang lain juga seharusnya tidak mengira pangkat, status mahupun umur.

Mengambil pendekatan sama, kisah seorang pelajar perubatan neurologi tahun empat di Universiti Thomas Jefferson, Philadelphia, Amerika Syarikat (AS) sememangnya boleh dijadikan teladan kepada masyarakat di seluruh dunia.

BACA LAGI: Tebang pokok tua dan baiki taman permainan rosak, PJ perlu bajet besar menjelang 2025

BACA LAGI: 'Cikgu, hari ni seronoklah', guru di Sabah bijak bantu murid pasif bersosial main permainan tradisonal

6024942160069113227

Noor Shaik. — Agensi

Dia yang dikenali sebagai Noor Shaik berkongsi pengalamannya ketika membantu seorang pesakit di Hospital Universiti Pennsylvania iaitu tempatnya melakukan latihan industri.

Mengimbau kembali detik itu, Noor Shaik menceritakan ada pesakit wanita yang menghidap diabetes tahap bahaya pada awalnya meraung kesedihan selepas menjalani pembedahan kaki.

Dia kemudiannya bergegas untuk menenangkan wanita tersebut kerana bimbang jika pesakit itu mengalami komplikasi teruk atau sakit melampau akibat pembedahan itu.

Namun, apa yang mengejutkannya apabila mendapati bahawa wanita itu kehilangan getah rambut kesayangannya ketika di dalam bilik bedah.

Tanpa berfikir panjang dan menunggu lama, Noor Shaik mencuri masa rehatnya untuk ke kedai berhampiran sebelum kembali semula ke wad dengan satu paket getah rambut berharga RM13.

S8c8be4dbe83746e38b039abb3be76556l.jpg_720x720q80

Hanya getah rambut boleh mengukir senyuman dan kegembiraan kepada pesakit di hospital. — Gambar hiasan/Agensi

"Sekarang dia menangis kegembiraan, dengan bermodalkan AS$3 sahaja boleh membuatkan dia berasa dihargai.

"Perkara kecil tetapi bermakna ini membantu kami ingat semula sebab kami ceburi bidang perubatan iaitu untuk bantu orang ramai.

"Melihat maklum balas mereka terhadap kebaikan kecil ini sudah cukup buat saya gembira," katanya.

Situasi itu secara tidak langsung membuatkan Noor Shaik mencetuskan idea mewujudkan program melalui organisasi atau agensi kesihatan untuk menyediakan peralatan tambahan atau aksesori khusus buat para pesakit.

Justeru, program PennHOPES menjadi antara inisiatifnya yang bertujuan untuk membantu pesakit berasa lebih selesa ketika berada di hospital.

Kuih-muih, selipar, aksesori

PennHOPES atau secara penuhnya bermaksud Bantu Pesakit Senyum (Helping Our Patients Smile) yang mula dilaksanakan pada Ogos 2023 kini semakin diperluaskan dengan kos sudah dibelanjakan sebanyak AS$2,500 (RM10,812) untuk pembelian 70 hadiah.

767321f7-c080-4393-a64f-6f84da6e6ab4.__CR0,305,1600,990_PT0_SX970_V1___

Aksesori seperti anak patung juga boleh menghiburkan pesakit kanak-kanak. — Gambar hiasan/Agensi

Menerusi program itu, penyedia perkhidmatan kesihatan boleh memohon kad hadiah Amazon untuk membeli barangan keperluan kecil buat pesakit sekurang-kurangnya selama lima hari.

Hadiah pula haruslah tidak lebih daripada AS$50 (RM216) dan tidak boleh mempunyai kaitan dengan rawatan yang diberikan kepada pesakit.

Antara hadiah atau yang dibenarkan adalah biskut, kuih-muih, aksesori seperti cermin mata, gelang, getah rambut; bahan bacaan dan kit penjagaan wajah.

Bukan itu sahaja, Jabatan Onkologi juga memainkan mengambil langkah menyediakan selipar lembut dan mempunyai lapisan bulu untuk pesakit kanser.

Pihaknya juga bertindak mewujudkan suasana wad yang lebih ceria dengan menyediakan beberapa anak patung comel agar dapat menghiburkan pesakit muda atau masih kecil.

"Sebagai contoh, mereka akan peluk anak patung haiwan seperti bantal sepanjang malam," katanya.

Screenshot (3393)

Idea yang PennHOPES yang dimulakan oleh Noor Shaik (tengah). — Agensi

Hadiah kecil ukir senyuman

Mendengar pula kisah seorang pesakit warga emas yang menghabiskan masa selama dua minggu di hospital sama selepas didiagnos penyakit epilepsi (gangguan sistem saraf sehingga menyebabkan sawan sekurang-kurangnya dua kali sehari).

Menurut Mary Houston, 49, program itu amat membantu individu sepertinya berasa tenang serta mengurangkan tekanan meskipun terpaksa menjalani rawatan menyakitkan.

Mary bercerita, ia mula disedarinya selepas seseorang menghulurkan selimut baldu kepadanya sebagai hadiah daripada para petugas yang menjaganya.

Tindakan itu secara tidak langsung menyentuh hati dan meninggalkan kenangan terindah buat wanita berasal dari Wilmington, Carolina Utara.

"Saya benar-benar tersenyum walaupun terpaksa melalui prosedur pemeriksaan Electroencephalography (EEG)," katanya.

434408173_399760782909488_3402289236139148253_n

Melakukan program komuniti atau keceriaan di hospital juga antara usaha yang sentiasa dilakukan terutamanya kepada pesakit kanak-kanak di Malaysia. — Gambar hiasan/Facebook Jabatan Kesihatan Terengganu

Program sedemikian tanpa kita sedar sebenarnya dilakukan di Malaysia terutamanya apabila ada hari istimewa yang diraikan seperti Hari Kanak-Kanak Sedunia, Hari Kanser Sedunia, Hari Raya Aidilfitri, Majlis Berbuka Puasa dan sebagainya.

Kebiasaan program kemasyarakatan seperti itu akan dilakukan melalui pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan sukarelawan daripada mana-mana syarikat, pelajar universiti atau komuniti penduduk sekitar.

Sama seperti usaha Putra Specialist Hospital (Melaka) yang melaksanakan program keceriaan dengan lukisan mural secara bergotong-royong di Wad Pediatrik pada Julai lalu.

Program itu juga membabitkan kerjasama kakitangan hospital, doktor, jururawat serta pesakit di hospital berkenaan.

Usaha itu sekali gus mampu menaikkan semangat, selain terapi kepada pesakit yang terdiri daripada kanak-kanak daripada berasa takut ketika mendapatkan rawatan di hospital. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram