KARNIVAL permainan tradisional yang julung kali diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia Nabawan, Sabah pada 29 Ogos lalu sememangnya meninggalkan kenangan manis buat murid dan para ibu bapa.
Selain menggamit memori nostalgia zaman kanak-kanak, karnival bersempena Bulan Kebangsaan 2024 itu merupakan antara usaha terbaik pihak sekolah dalam memberi ilmu Pendidikan baharu buat yang terlibat.
Berkongsi lanjut, Penyelaras Program, Viettylea Gipin menyatakan bahawa ia juga bertujuan untuk menyebarkan lagi tentang keunikan dan keseronokan permainan tradisional kepada khususnya kepada golongan muda.
BACA LAGI: Berani tonjolkan diri, ibu tak pernah berhenti buka jalan Zaza kembangkan bakat atas pentas
Murid-murid teruja dan gembira apabila dapat bermain permainan tradisional di karnival itu.
Kira-kira 400 orang terdiri daripada murid, guru, staf sekolah, Ahli Jawatankuasa (AJK) asrama, pengawal keselamatan, pekerja pembersihan dan ibu bapa hadir memeriahkan karnival itu.
Ketua Panitia Sejarah itu berkata, idea tersebut mula tercetus apabila melihat generasi kini yang lebih cenderung ke arah teknologi atau gajet canggih.
"Ini merupakan kali pertama kami buat karnival besar-besaran seperti ini dan sangat mendapat sambutan hangat oleh peserta.
"Aktiviti mewarna dan melukis poster macam biasa sangat kalau sempena bulan kebangsaan.
"Jadi, saya yang mencadangkan kelainan sedikit untuk membolehkan semua murid dan warga sekolah merasai pengalaman permainan tradisional," katanya kepada Majoriti.
Karnival yang melibatkan guru dan ibu bapa.
Viettylea berkata, terdapat lapan jenis permainan tradisional seperti keting-ting, guli, zero-point (lompat getah), galah panjang, tuju selipar, sepak raga dan boling kelapa mengikut kategori iaitu murid dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Melihat maklum balas positif daripada para peserta pun sudah cukup menggembirakan buat guru berusia 31 tahun itu.
"Respons daripada ibu bapa paling mengejutkan sebab mereka pada awalnya jadi penonton sahaja, tapi disebabkan terlalu teruja dan gembira akhirnya turut serta main.
"Mereka juga tunjukkan minat yang sangat tinggi untuk lebih banyak buat aktiviti ini pada masa akan datang.
"Bermain permainan tradisional ini juga tanpa kami sedar sebenarnya dapat memupuk semangat kekeluargaan antara ibu bapa dan anak mereka," ujarnya.
Viettylea Gipin
Kata Viettylea lagi, waktu itu merupakan peluang istimewa buat murid-murid yang tidak mengenali tentang kewujudan permainan tradisional di Malaysia.
Zero-point dan tuju selipar antara jenis permainan yang mendapat perhatian terutamanya murid prasekolah.
Katanya, ia jelas membuktikan bahawa karnival itu bukan semata memberi hiburan, tetapi juga pendidikan dengan meningkatkan pengetahuan murid tentang warisan budaya.
Lebih menyeronokkan lagi apabila para guru dan ibu bapa diberi peluang mengikut tema pakaian ala-ala era 60-an ketika karnival tersebut.
Menurutnya, aktiviti sedemikian secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara murid, guru dan ibu bapa serta meningkatkan kemahiran sosial mereka.
Permainan tradisional dapat membantu mengeratkan hubungan silaturahim antara guru, murid dan ibu bapa.
"Sebagai contoh, murid dapat rasa sendiri pengalaman kalau ada silibus tentang permainan tradsional dalam buku teks dan mungkin mereka ada idea untuk menjawab soalan peperiksaan atau buat karangan.
" Bagi aspek sosialnya pula, saya dapat respons daripada murid yang agak pasif dan tak minat bersukan.
"Tetapi pada hari tersebut dia datang jumpa saya dan cakap 'hari ini seronoklah dapat main macam-macam, dapat jumpa kawan-kawan'.
"Jadi, aktiviti ini boleh membantu kemahiran bersosial untuk berinteraksi dengan orang ramai," jelasnya.
Tambahnya, kebanyakan guru dan ibu bapa turut membuat permintaan agar pihak sekolah dapat meneruskan aktiviti seperti itu dengan lebih kerap.
Pihak sekolah juga katanya mempunyai rancangan bagi melaksanakan karnival besar yang memperkenalkan banyak lagi jenis-jenis permainan tradisional di seluruh negeri kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram