SEORANG pekerja di sebuah sekolah di Mersing Johor maut manakala seorang lagi cedera selepas diserang gajah liar pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian berlaku apabila dua pekerja terbabit yang sedang membersihkan sebuah sekolah di Felda Tenggaroh 5 itu ternampak gajah berkenaan.
"Mereka cuba menghalau gajah itu tetapi sebaliknya haiwan tersebut menyerang mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Kelibat gajah liar yang didakwa menyerang mangsa dalam kejadian pada Khamis. — Facebook
Menurut Sharif Sai, insiden itu berlaku pada pukul 11 pagi Khamis.
Tambahnya, pekerja yang maut itu cedera di leher dan dada serta meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Seorang lagi yang terselamat mengalami kecederaan di kepala, pendarahan dalaman dan pelbagai patah tulang dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, Johor.
Mayat pekerja terbabit dihantar ke Hospital Mersing dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
Terdahulu, tular video insiden berkenaan yang menyaksikan sekumpulan individu dilihat memapah beberapa orang pekerja yang dipercayai tercedera dalam serangan gajah liar terbabit.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar dilaporkan berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu bagi tindakan lanjut.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram