POLIS kini sedang menyiasat kejadian pergaduhan yang dipercayai berlaku susulan satu kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Persiaran Klang Sentral dekat Klang, Selangor pada Rabu.
Menerusi satu video tular di media sosial, pada awalnya kelihatan hanya dua individu yang terlibat dalam pergaduhan berdekatan dengan sebuah kereta yang terbalik di tengah-tengah jalan.
Kemudiannya beberapa lelaki lain turut mula melakukan aksi pukul-memukul sehingga keadaan tidak terkawal, sekali gus mengundang keresahan pengguna jalan yang lain serta orang awam yang melihat kejadian itu.
Punca sebenar kejadian tidak dapat dipastikan dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut kes itu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut dengan satu kertas siasatan telah dibuka.
“Polis terkesan video tular di media sosial memaparkan kejadian pergaduhan yang melibatkan beberapa individu akibat daripada satu kemalangan jalan raya di Jalan Persiaran Klang Sentral, Selangor.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan atau dengan denda yang boleh sampai RM1,000 ringgit atau dengan kedua-duanya ,” katanya, memetik kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Sementara itu, Vijaya Rao juga menasihati supaya orang awam tidak terlibat dengan sebarang aktiviti melanggar undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram