PENDUDUK di sekitar Kompleks Perumahan Pondok Gede Permai dikejutkan dengan penemuan tujuh mayat yang terapung di Sungai Cileungsi, Bogor, Jawa Barat, Indonesia pada Ahad.
Menurut saksi, penduduk setempat panik apabila melihat mayat-mayat itu terapung di dalam aliran sungai bercampur lumpur dan bertindak segera melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Susulan itu, pegawai polis tempatan segera ke lokasi berkenaan untuk menyiasat tempat kejadian (TKP) dan menjalankan proses pemindahan mayat ke Hospital Polis Kramat Jati, Jakarta Timur.
BACA LAGI: 'Ratu contest' gemar doodle di malam hari, anggap lukisan terapi kesihatan mental
Setelah disiasat, Ketua Polis Metro Jaya, Inspektor Jeneral Pol Karyoto berkata, tujuh mayat berkenaan dipercayai bakal menyambut hari lahir bersama.
Bagaimanapun, Karyoto berkata, masih belum diketahui sama ada hari lahir yang dimaksudkan itu adalah hari lahir kesemua individu terbabit atau hari lahir seseorang.
Pol Karyoto turut berkata, sambutan hari jadi itu turut disertai berpuluh remaja lelaki lain.
“Sebelum ini maklumat mengatakan ia adalah hari lahir. Kalau hari jadi mana kek itu? Mustahil ada sambutan hari jadi di sini," kata Karyoto.
Karyoto sebelum ini mengesahkan bahawa tujuh mayat yang ditemui mati di Sungai Bekasi adalah orang yang bergaduh lalu melarikan diri daripada dikejar pihak polis.
"Mereka terjun ke dalam sungai kerana takut ditangkap oleh pihak polis yang sedang membuat rondaan.
“Memang mereka terhumban ke dalam sungai kerana takut ada rondaan lalu atau ada orang yang memberi amaran," katanya.
Karyoto turut menyatakan kebimbangan terhadap tindakan yang dilakukan oleh remaja berkenaan.
Ini kerana, pergaduhan yang dilakukan oleh kumpulan remaja sering mengakibatkan kecederaan dan juga kematian.
“Beberapa senjata tajam berjaya dirampas. Secara peribadi, saya prihatin dengan kematian budak-budak ini," katanya.
Karyoto juga menjelaskan identiti tujuh mayat yang ditemui itu masih berada dalam siasatan.
Bagaimanapun, ada di antara mangsa yang difahamkan berusia bawah 18 tahun.
"Dan ini juga anak-anak yang masih di bawah umur. Ini bermakna ada yang di bawah 18 tahun dan ada juga yang di atas 18 tahun," kata Karyoto. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram