'Saya benar-benar insaf', ahli GISBH dihukum penjara 10 tahun atas kesalahan dera kanak-kanak


Tertuduh Muhammad Barur (Baju merah) mengaku bersalah atas empat pertuduhan mendera tiga kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.

SEORANG ahli GISB Holdings (GISBH) dihukum penjara 10 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor selepas mendera tiga di kanak-kanak.

Tertuduh Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, mengaku bersalah atas empat pertuduhan mendera tiga kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.

Semua mangsa semasa kejadian berada di bawah jagaan sebuah rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Bapa budak lelaki kena rotan di rumah amal GISB buat laporan polis

BACA LAGI: [VIDEO] Seramai 13 budak GISB pernah diliwat — KPN

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman ke atas Muhammad Barur, dua tahun untuk setiap pertuduhan pertama iaitu merotan mangsa.

Terdahulu, dalam rayuannya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, lelaki itu memohon maaf atas tindakannya.

"Untuk kes ini saya benar-benar insaf dan tekad serta berazam tidak akan mengulangi kesalahan ini," katanya.

Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki itu akan didakwa di mahkamah Sesyen Klang pada Khamis kerana didakwa mendera kanak-kanak di salah sebuah rumah jagaan yang dikaitkan dengan syarikat itu.

“Suspek yang dikaitkan dengan video tular yang menunjukkan kanak-kanak didera di rumah jagaan yang dikaitkan dengan GISB, akan didakwa esok (Khamis),” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini, polis memulakan siasatan berhubung video yang menunjukkan seorang kanak-kanak didera.

Polis berjaya mengesan budak lelaki itu, yang merupakan antara 572 kanak-kanak yang diselamatkan semasa Ops Global sejak 11 September lalu.

Budak lelaki itu juga merupakan salah seorang anak yang telah berpisah dengan bapanya sejak 2021. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram