[VIDEO] Surau bergerak di Malaysia boleh ‘upgrade’ jadi masjid hingga muat 50 jemaah macam di Jepun


  • Massa
  • Selasa, 24 Sep 2024

Masjid bergerak pertama di Jepun yang pada awalnya dicipta bersempena sukan Olimpik Musim Panas 2020 di Tokyo. — Agensi

TIDAK semua teknologi canggih memberi kesan buruk terhadap ekosistem manusia.

Setiap pembaharuan pastinya terselit kebaikan atau manfaat kepada individu, negara mahupun agama.

Buktinya, kewujudan surau dan masjid bergerak yang mula diperkenalkan di Jepun bagi memudahkan urusan umat Muslim menunaikan ibadah solat.

BACA LAGI: 'Cikgu, hari ni seronoklah', guru di Sabah bijak bantu murid pasif bersosial main permainan tradisonal

BACA LAGI: 'Demi anak saya,' kisah saintis sanggup dipecat, dipenjara iktibar buat Malaysia serius patuhi 1.5C

6305592661972730111

Masjid bergerak yang mula diperkenalkan di Jepun pada 2018. — Agensi

Tahukah anda bahawa Jepun negara pertama melancarkan masjid bergerak pada 2018 sebagai persiapan untuk Sukan Olimpik Musim Panas 2020 di Tokyo.

Menariknya, masjid bergerak merupakan sebuah treler 25 tan yang diubah suai menjadi ruang kemudahan menunaikan solat dengan keluasan 48 meter persegi dan boleh memuatkan 50 jemaah dalam satu masa.

Bukan sahaja menyediakan ruang yang selesa, bersih dan luas, masjid itu juga disertakan saluran paip air untuk pelawat dan atlet Muslim mengambil wuduk

Masjid mudah alih yang dicipta oleh sebuah syarikat pengurusan sukan dan kebudayaan di Tokyo itu juga bertujuan dapat membuat pelawat Muslim berasa seperti di rumah sendiri.

Mengambil peluang sebagai tuan rumah ketika itu, Jepun sekali gus menjadi negara contoh yang menitikberatkan keperluan umat Islam.

6305592661972730113

Masjid itu boleh memuatkan seramai 50 jemaah dalam satu masa. — Agensi

Ketua Pegawai Eksekutif Projek Yasu, Yasuharu Inoe pada waktu itu berkata, ia merupakan usaha selepas mengambil kira tentang kekurangan masjid di kawasan tersebut menjadi kebimbangan.

Yasuharu berkata, inspirasinya untuk melakukan projek tersebut bermula selepas lawatannya di Qatar, Arab Saudi pada 2015.

Menurutnya, di samping mengisi jurang kekurangan infrastruktur agama, projek itu juga mampu menjadi alat untuk memupuk keharmonian masyarakat serta menarik lebih ramai pelancong ke Jepun.

“Saya mahu semua orang bermotivasi dan semangat ketika menonton perlawanan.

“Ini juga sebagai satu usaha untuk memberi kesedaran bahawa terdapat individu yang berbeza di dunia dan tiada sebarang dikriminasi terhadap mereka. Jadi, sebab itulah saya hasilkan projek ini,” katanya.

Melihat kemampuan teknologi baharu tersebut, beberapa pengguna masjid bergerak ketika sukan Olimpik melihat bahawa ia sangat penting khusus buat umat Islam di Jepun atau negara lain.

Beliau dalam pada itu mengharapkan agar projek itu digunakan lebih meluas di negara lain termasuk Malaysia.

Meskipun teknologi masjid bergerak itu masih belum dilaksanakan di Malaysia, tetapi sebenarnya kewujudan surau bergerak sudah diperkenalkan secara meluas sejak 2015.

Pada tahun itu, Badan Nadwah Islamiyah Pahang, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menawarkan perkhidmatan surau bergerak pertama yang dinamakan Mobil Mussollah bagi mengatasi masalah kekurangan tempat solat terutama di kawasan tumpuan umum seperti pasar malam dan stadium.

Perkhidmatan tersebut juga merupakan cetusan ilham bersama badan korporat Telaga Biru Sdn Bhd dan Takaful Ikhlas Sdn Bhd.

Surau itu dihasilkan daripada sebuah lori tiga tan yang diubah suai dengan jumlah kos sebanyak RM200,000 dan disertakan bersama kemudahan solat lain seperti permaidani, bumbung dan tempat berwuduk.

Mengambil pendekatan sama, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melancarkan surau bergerak menggunakan bas dua tingkat pada Mac lalu yang bukan sahaja berfungsi untuk menunaikan solat tetapi juga sebagai sudut aktiviti keagamaan dan penyebaran dakwah.

6305592661972730115

Surau bergerak menggunakan bas dua tingkat demi keselesaan umat Muslim yang dilaksanakan oleh JAWI. — Facebook/JAWI

Surau bergerak JAWI 2.0 adalah hasil kerjasama syarikat Konsortium E-Mutiara Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd dengan kapasiti yang memuatkan seramai 35 jemaah dalam satu masa.

Bahagian penumpang bas berkenaan diubah suai menjadi ruang solat dan aktiviti yang selesa manakala tempat penyimpanan barang diubahsuai bagi penyimpanan bekalan air dan paip untuk mengambil wuduk.

Ia juga dilengkapi dengan kemudahan lain seperti karpet, sejadah, telekung, pembesar suara, dan penyaman udara.

Usaha itu bagaimanapun disarankan agar dapat dilaksanakan dengan lebih meluas seperti seruan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau pada masa sama menggalakkan dan menyeru mana-mana syarikat untuk melaksanakan inisiatif wakaf surau bergerak demi kebaikan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram