PROGRAM himpunan motosikal RXZ Members 6.0 yang berlangsung selama dua hari di Litar Pemotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, melabuhkan tirainya pada Ahad.
Merekodkan penyertaan lebih 40,000 peserta, program tahunan yang bermula sejak 2017 itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta seluruh negara.
Meskipun berlangsung dengan meriah, namun tidak dapat dinafikan, program itu turut dihujani dengan komen-komen negatif daripada netizen, berikutan ramai yang menganggap ia tidak memberi manfaat kepada masyarakat.
BACA LAGI: Penunggang dari Ipoh maut di Marang, rakan RXZ mohon bantuan cari Hilux coklat tanpa nombor plat
Bagaimanapun, perkongsian seorang pemilik inap desa di laman Facebook baru-baru ini meninggalkan satu persepsi berbeza buat golongan berkenaan.
Berdasarkan satu video yang dimuat naik menerusi akaun rezekiaroma, difahamkan peserta-peserta program himpunan motosikal RXZ Members 6.0 yang menyewa di kediaman dekat Terengganu itu meninggalkan rumah tersebut dalam keadaan bersih dan kemas.
Ia sekali gus menepis tanggapan bahawa peserta atau golongan lelaki bersikap pengotor.
Menjengah ke ruangan komen juga, rata-rata turut memuji tindakan mereka, dengan ada yang menyatakan bahawa kebanyakan peserta program tersebut terdiri dalam kalangan golongan berusia yang sudah matang dari segi pemikiran.
Menurut Wais Mokhtar, cara pemikiran penunggang motosikal tersebut dianggap berbeza dengan penunggang motor jenis lain.
"Geng RXZ ni banyak yang berakal dan jaga adab dan cara. Berbeza dengan geng motor 'kecil' itu, RXZ ramai orang berkerjaya dan mentaliti (mereka) bagus," katanya.
Bagi Calvin William pula, tindakan itu juga turut menjadi penanda aras bahawa tidak semua 'mat motor' sering dikaitkan dengan masalah.
"Kebersihan mencerminkan diri, maka jangan kita label main motor itu tidak elok.
"Jangan hanya segelintir (yang bermasalah), kita nak samakan semua. Ubahlah cara berfikir bahawa motor ini adalah minat dan hobi yang tidak salah, cuma kita suka menilai mereka semua ini sampah disebabkan segelintir mat rempit," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram