Tidak sekadar popular di Sabah, ternakan latok pertama di Pulau Pinang turut pulih ekosistem laut, hasilkan produk kecantikan


  • Bizz
  • Jumaat, 20 Sep 2024

J Ocean World Aquaculture Sdn Bhd menjadi yang pertama menjalankan penternakan latok di sangkarnya di Pulau Pinang bermula pada tahun lalu.

SEJAK beberapa tahun lalu, penternakan rumpai laut latok atau dikenali sebagai anggur laut semakin popular di Malaysia.

Di dalam negara, latok sering dijadikan ulam atau dimakan mentah sebagai hidangan sampingan, terutama di kalangan masyarakat penduduk di Sabah.

Bagaimanapun, popularitinya kini dilihat mula merebak dan mendapat sambutan di Semenanjung.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Dengan permintaan semakin meluas, aktiviti penternakannya juga sudah menunjukkan perkembangan dengan beberapa kawasan dilihat sudah menjadi pengeluar kepada tumbuhan tersebut seperti di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Langkawi, Kedah.

Di Pulau Pinang, syarikat perikanan, J Ocean World Aquaculture Sdn Bhd menjadi pihak pertama menjalankan penternakan latok di negeri tersebut bermula pada tahun lalu.

Berkongsi kepada Majoriti, pengasasnya, Joey Tan berkata, pada awalnya, beliau mengambil keputusan untuk memulakan penternakan tumbuhan itu selepas aktiviti penternakan ikannya berdepan dengan beberapa masalah sehingga menyebabkan kerugian.

6296213561499827767

Pekerja mengambil hasil latok yang diternak di sangkar milik J Ocean World Aquaculture Sdn Bhd.

"Sebelum ini kita ternak ikan kita hadapi masalah seperti serangan ledakan alga (algae bloom) dan ribut besar sehingga menyebabkan sangkar kita pecah. Jadi ikan banyak mati.

"Kemudian lepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), harga ikan pun jatuh hampir separuh. Dengan kos operasi yang tinggi termasuk nak tunggu tempoh hasil ternakan yang memakan masa 10 bulan hingga setahun, jadi kita memang berdepan kerugian," ujarnya yang memiliki sebanyak 50 buah sangkar penternakan di Bayang Lepas.

Ekoran daripada masalah yang dihadapi Joey berkata, pihaknya mendapat saranan daripada Institut Penyelidikan Malaysia untuk menjalankan penternakan latok.

Dengan berbekalkan benih yang diperolehi daripada Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, Kedah, dan panduan daripada tenaga pelatih pakar, J Ocean World Aquaculture Sdn Bhd mengambil keputusan untuk memulakan aktiviti penternakan tumbuhan terbabit pada 2023.

6296213561499827769

Menurut Joey, latok yang dihasilkan di sangkarnnya mempunyai kualiti yang agak baik berbanding di tempat lain.

Menurut Joey, selepas 45 hari, hasil pertama diperolehi menunjukkan kualiti yang cukup baik berbanding pengeluaran di tempat lain termasuk yang diimport dari luar negara.

"Mungkin sebab kita ternak dia dalam sangkar dalam laut, jadi vitamin dia cukup," ujarnya.

Selepas hampir setahun mengusahakan tumbuhan itu yang diternak secara liar dan semula jadi di dalam laut, Joey berkata, pihaknya berjaya mengeluarkan sekitar 0.5 tan hingga satu tan latok setiap bulan.

Pulih ekosistem laut dan invovasi produk latok

Joey berkata, dia tidak menyangka bahawa penternakan latok tidak hanya sekadar menyediakan hasil untuk jualan berasaskan makanan.

Ini kerana menurutnya, peralihan kepada ternakan tumbuhan laut terbabit dilihat turut membantu dalam memulihkan ekosistem laut terutamanya di sekitar kawasan sangkarnya.

"Seperti yang kita tahu, air laut di sekitar Pulau Pinang agak terjejas dengan projek pembangunan yang dijalankan sehingga menyebabkan banyak hidupan laut turut menerima kesannya.

"Tapi sejak kita tanam rumpai laut ini, kita boleh nampak dalam sangkar dah mula datang hidupan kecil laut seperti anak udang, tapak sulaiman, sotong dan lobster merah.

"Kehadiran latok ini seperti menyediakan satu ekosistem kepada binatang laut. Jadi kita pun sebenarnya sangat gembira dengan perkembangan ini," ujarnya.

6296213561499827754

Joey bergambar bersama produk kecantikan berasaskan latok yang dipamerkan ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) di Serdang, Selangor.

Dalam pada itu, menerusi kajian dijalankan bersama Universiti Sains Malaysia (USM), Joey berkata, pihaknya mendapati latok dikeluarkan daripada sangkarnya turut mempunyai kandungan kolagen tinggi dan cukup sesuai untuk menghasilkan produk kecantikan.

Bertitik tolak daripada itu, J Ocean World Aquaculture Sdn Bhd kini turut mengeluarkan produk kecantikan dalam bentuk topeng kecantikan muka yang dikenali sebagai Green Caviar Mask.

Bergerak ke hadapan, Joey berkata, pihaknya kini turut sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan beberapa lagi produk kecantikan berasaskan latok antaranya krim mata dan serum penjagaan kulit muka.

Ujarnya, syarikatnya turut menyasarkan untuk meningkatkan lagi jumlah pengeluarannya kepada lima tan setiap bulan dalam tempoh enam hingga satu tahun akan datang.

"Kita kena capai sasaran ini supaya pengeluaran ini mampu menampung sumber yang diperlukan untuk kita hasilkan produk kecantikan ini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram