Pendekatan kekerasan bukanlah kaedah terbaik dalam mendidik generasi akan datang — Suhakam


  • Primer
  • Khamis, 19 Sep 2024

Suhakam tidak akan berkompromi dengan apa-apa bentuk kekerasan fizikal yang mencederakan individu, terutamanya apabila melibatkan kanak-kanak.

MALAYSIA baru-baru ini dikejutkan dengan satu video tular yang memaparkan penderaan kanak-kanak dipercayai penghuni rumah amal di bawah naungan Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISB).

Berdasarkan rakaman yang dimuat naik di platform Facebook itu, seorang kanak-kanak dilihat sedang menahan sakit dirotan oleh salah seorang kakitangan GISB.

Lebih mengejutkan lagi, walaupun kanak-kanak tersebut dilihat meraung kesakitan, pelaku tersebut terus merotan mangsa.

BACA LAGI : [VIDEO] Bapa budak lelaki kena rotan di rumah amal GISB buat laporan polis

BACA LAGI : [VIDEO] Seramai 13 budak GISB pernah diliwat — KPN

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dr. Farah Nini Dusuki berkata, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai satu bentuk penderaan jika dilihat daripada sudut undang-undang.

CHOOSE ONE, USE BIG, MAYBE ETCH OUT: Veteran: Farah Nini has been working in the area of child law for three decades. — LOW LAY PHON/The Star

Dr. Farah Nini Dusuki

Beliau turut menegaskan bahawa Suhakam tidak akan berkompromi dengan apa-apa bentuk kekerasan fizikal yang mencederakan individu, terutamanya apabila melibatkan kanak-kanak.

"Masyarakat perlu memahami bahawa pendekatan kekerasan bukanlah kaedah terbaik dalam mendidik generasi akan datang.

"Generasi demi generasi mewariskan amalan-amalan ini, sehingga sukar untuk menukar beberapa tabiat yang sebenarnya mendatangkan kemudaratan, seperti disebutkan dalam kes GISB melibatkan penggunaan rotan yang berlebihan sehingga menyebabkan kesakitan.

"Jika kita melihat dari sudut undang-undang, penggunaan rotan yang menyebabkan kesakitan melampau adalah satu bentuk kekejaman," katanya dalam satu temu bual khas bersama Majoriti.

Tambah beliau lagi, langkah-langkah positif perlu diambil untuk menghentikan budaya kekerasan yang telah lama menjadi norma dalam masyarakat.

"Dalam kes ini, pihak polis bertanggungjawab dalam penyiasatan untuk mendapatkan bukti bagi mendakwa mereka yang bersalah.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan kanak-kanak yang telah diselamatkan, dan pihak doktor berperanan untuk merawat kanak-kanak ini serta menentukan tahap kemudaratan yang telah berlaku," ujarnya.

Terdahulu Majoriti melaporkan, bapa kepada seorang budak lelaki yang dilihat dirotan di dalam sebuah bilik darjah sudah membuat laporan polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan itu dibuat di Kluang, Johor pada Isnin.

Video kejadian dipercayai melibatkan kes GISB Holdings itu turut tular di laman media sosial sejak Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram