Budak tular dirotan, kena pijak antara 187 mangsa rumah amal GISB berjaya diselamatkan — KPN


  • 112
  • Isnin, 23 Sep 2024

Klip video seorang kanak-kanak dirotan sehingga menangis di salah sebuah pusat pendidikan dipercayai ada kaitan dengan GISB.

FASA ​​​keempat Op Global terhadap Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings yang bermula pada 21 September lepas, menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 156 lagi individu dan 187 lagi mangsa telah berjaya diselamatkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam kalangan 187 mangsa yang berjaya diselamatkan itu, 59 daripadanya adalah golongan kanak-kanak bawah umur 5 tahun dengan semuanya akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sejumlah 59 kanak-kanak itu termasuk seorang kanak-kanak yang dilihat disebat dalam video tular, iaitu salah seorang daripada empat beradik yang dipisahkan daripada bapa mereka pada 2021.

BACA LAGI: Beroperasi tanpa permit dan langgar syarat lesen, MPS tutup 16 premis GISB di Rawang

BACA LAGI: Kanak-kanak, wanita antara lebih 10 individu diperiksa dalam serbuan di pusat komersial GISB Rawang

Kanak-kanak berkenaan diselamatkan dari rumah jagaan GlSB di Tapah, Perak, susulan operasi pada 21 September lalu.

“Bawah 5 tahun ada 59 orang, 6-12 tahun (75 orang), 13-17 tahun (40 orang), 8 tahun ke atas (13 orang), kesemua mangsa ini telah menjalankan saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan telah diserahkan kepada JKM untuk diletakkan di Rumah Selamat.

“Dua daripada kanak-kanak yang diselamatkan mempunyai video mereka dihukum oleh anggota GISB menjadi viral. Seorang daripada mereka disebat dengan rotan manakala seorang lagi dipijak.

"Kanak-kanak itu sedang dirawat di wad pediatrik sebuah hospital," katanya dalam satu sidang media khas di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) dekat Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR, 17 Sept -- Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) hari ini.Op Global: 392 mangsa yang diselamat selesai jalani saringan kesihatan, elemen jenayah fizikal dan emosi dikesan.--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat tanda-tanda pengabaian dan trauma,” tambahnya.

Tambah Razarudin, kesemua suspek direman sehingga 28 September, selain 32 kertas siasatan juga telah dibuka atas pelbagai kesalahan.

Menurut beliau, 59 daripada 280 premis berkaitan GISBH berjaya diserbu manakala 221 lagi didapati telah kosong.

Pihaknya percaya ahli GISBH berkenaan telah melarikan diri. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram