Pengerusi, pengetua madrasah ditahan cuba hidupkan semula ajaran sesat di Negeri Sembilan


  • 112
  • Ahad, 22 Sep 2024

Kedua-dua suspek hadir ke Mahkamah Rendah Syariah dengan diiring penguat kuasa JHEAINS.

PENGERUSI dan pengetua sebuah madrasah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business (GISBH) ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada Sabtu.

Kedua-dua lelaki berusia 58 dan 51 tahun itu ditahan kerana disyaki cuba menghidupkan kembali ajaran Aurad Muhammadiyah yang difatwakan haram di Negeri Sembilan pada 2016.

Dalam pada itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, mereka telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, kira-kira pukul 9 malam pada Sabtu.

BACA LAGI: 29 individu dikaitkan GISBH direman 7 hari di Mahkamah Shah Alam

BACA LAGI: Polis nafi dakwaan pegawai kanan terlibat kegiatan GISBH

Ahmad Zaki berkata, penahanan mereka susulan pemeriksaan dan serbuan yang dilakukan di madrasah terbabit pada 6 September lalu.

“Kami pada mulanya menyiasat mereka kerana menguruskan madrsah tersebut tidak berdaftar tetapi kemudian didapati mereka juga cuba menghidupkan kembali ajaran Aurad Muhammadiyah yang telah diisytiharkan haram oleh Jabatan Mufti Negeri pada 2016,” katanya.

Menurut Ahmad Zaki, mahkamah membenarkan kedua-dua mereka dilepaskan dengan bon jaminan dan diperintahkan membayar wang jaminan RM2,000 setiap seorang dengan dua penjamin warganegara dan yang bermastautin di Negeri Sembilan.

"Sebutan semula bagi pertuduhan ditetapkan pada 12 November depan," ujarnya.

Sebelum ini, empat pembantu pengajar di madrasah berkenaan telah didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan amang seksual.

Tertuduh Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21 Muhammad Khunnais Fathie Khabil, 20 Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22 dan Muhammad Fawzun Azim Ismail, 20 masing-masing berdepan lima, enam, tiga dan enam pertuduhan.

Bagaimanapun, keempat-empat mereka mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram