SEBANYAK 16 premis sudah diberikan notis penutupan segera berikutan serbuan dibuat di pusat komersial Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor pada pagi Sabtu.
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata, 12 daripada 16 premis didapati beroperasi tanpa lesen yang sah sementara empat yang lain pula didapati melanggar terma atau syarat perlesenan.
Ketika serbuan dibuat, MPS juga menarik semula empat lesen perniagaan atas kesalahan melanggar peraturan khas yang sudah ditetapkan.
BACA LAGI: Kanak-kanak, wanita antara lebih 10 individu diperiksa dalam serbuan di pusat komersial GISB Rawang
Beberapa ahli GISB sudah ditahan pihak polis daripada beberapa serbuan dibuat.
Jabatan Pembangunan MPS juga sudah mengeluarkan sebanyak 25 notis kepada pengusaha yang membuat perubahan dan pengubahsuaian terhadap struktur bangunan tanpa pengesahan.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan, kesemua tindakan dibuat di bawah Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974 dengan 130 anggota MPS turut terlibat dalam operasi berkenaan.
Setakat ini, polis sudah bertindak melakukan serbuan terhadap beberapa perniagaan yang dikaitkan dengan GISB, termasuk sebuah bengkel, kedai pakaian terpakai, restoran, kedai percetakan serta sebuah hotel.
Sebanyak 50 anggota polis dan 200 anggota dari kontinjen Polis Selangor, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan agensi lain terlibat dalam operasi yang diberi kod nama Ops Global.
Laporan awal juga mendapati ketika operasi yang diketuai polis dijalankan, MPS merobohkan beberapa struktur haram serta menyita beberapa premis lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram