SATU lagi kumpulan masyarakat sivil, G25 menyokong gesaan Badan Peguam Malaysia untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah perlindungan yang dikendalikan oleh Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB).
Kumpulan pendesak itu berkata, RCI bukan sahaja akan membantu dalam penyiasatan tetapi juga menggalakkan akauntabiliti dan pembaharuan untuk menambah baik cara kes sedemikian dikendalikan pada masa hadapan.
"G25, sekali lagi menyeru kerajaan untuk melihat pentadbiran Islam di negara kita pada tahap yang lebih mendalam.
"Kelewatan dalam pelaksanaan dan tindakan hanya kerana sensitiviti agama meninggalkan ruang untuk pengabaian dengan mengorbankan mereka yang tidak bersalah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
GISB didakwa mengeksploitasi kanak-kanak.
Pada Khamis lepas, Badan Peguam Malaysia menggesa kerajaan mempertimbangkan RCI untuk menyiasat dakwaan eksploitasi kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah kebajikan yang dikendalikan oleh GISB.
G25 mengingatkan tentang kes penderaan, penggantungan dan eksploitasi terhadap 402 kanak-kanak yang diselamatkan dari 20 rumah amal sekitar Selangor serta Negeri Sembilan pada 11 September lalu.
“Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain melaporkan mangsa, kesemua warga tempatan dengan ada yang didapati anak anggota GISB, mengalami pelbagai bentuk eksploitasi dan penderaan.
"Jadi, kita mesti bertanya, jika polis sudah terlibat pada Februari 2019, mengapa penutupan rumah kebajikan GISB dan pemindahan kanak-kanak tidak dilakukan lebih awal?," soal kumpulan pendesak itu lagi.
G25 berkata, insiden itu memberi kesan yang mendalam dan berpanjangan terhadap kanak-kanak yang terjejas.
"Trauma yang mereka alami boleh menjejaskan perkembangan emosi dan psikologi mereka. Ia juga berpotensi menghalang keupayaan mereka untuk menjalani kehidupan yang memuaskan.
"Adalah penting bagi kita bukan sahaja mendapatkan keadilan segera tetapi juga memastikan sokongan jangka panjang dan pemulihan terhadap kanak-kanak ini," katanya.
G25 turut berkata, selain agensi kawal selia yang mengabaikan tanggungjawab demi melindungi mereka yang tidak berdaya ini, kepimpinan dan pengurusan GISB juga mesti bertanggungjawab atas kegagalan menyediakan persekitaran yang selamat buat anak-anak muda itu.
Kumpulan itu juga menyokong titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Ahad, yang menyatakan kekecewaan dan menyeru penangguhan tindakan terhadap GISB.
“Ke Bawah DYMM juga menggesa semua agensi penguat kuasa agama dan polis sentiasa menjalankan siasatan dengan telus, berintegriti dan amanah, selaras dengan tanggungjawab yang dipikul mereka.
“Kami bersyukur barisan pemimpin agama negara bercakap mengenai isu ini, dengan Jawatankuasa Fatwa Perlis mengeluarkan fatwa mengharamkan GISB sebagai kumpulan sesat pada Jumaat lepas.
“Kami berharap pemimpin agama lain turut bersuara mengenai perkara tersebut dan menyertai seruan untuk menghalang sokongan berterusan terhadap pertubuhan sebegitu dan melindungi anak-anak dan orang ramai daripada bahaya selanjutnya.
"Pihak bertanggungjawab perlu mementingkan keadilan untuk melindungi hak mereka yang terjejas. Kita mesti bertindak tegas untuk mencegah insiden masa depan dan memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem yang kononnya untuk melindungi rakyat kita," kata. — TheStar
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram