Kurang parkir punca Cameron Highlands sesak, NGO gesa penempatan semula Kea Farm


  • Massa
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Pandangan udara menunjukkan kesesakan lalu lintas di sekitar pasar Kea Farm, Cameron Highlands, Pahang.

SEBUAH badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) mahu penempatan semula Kea Farm di Cameron Highlands, Pahang ekoran ia punca kesesakan lalu lintas di pusat peranginan itu.

Salah seorang ahlinya, K. Selvarajoo berkata, tapak pasar itu tidak lagi sesuai dan kawasan itu juga kekurangan tempat letak kereta.

Katanya, pengunjung kadangkala terpaksa meletakkan kenderaan secara sembarangan di sepanjang jalan yang menjadi punca utama kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan berkenaan.

BACA LAGI: Penutup lubang selenggara tak rapat, wanita tak sedarkan diri lepas motor tercampak 4 meter di Ipoh

BACA LAGI: Tambah stesen, guna peranti mudah alih bantu pengguna EV jimat masa pengecasan penuh

Another view of cars moving slowly in Brinchang, mainly caused by traffic congestion in Kea Farm. — Photos courtesy of REACH

Satu lagi pemandangan trafik bergerak perlahan di Brinchang ekoran kesesakan lalu lintas di Kea Farm.

"Selain kekurangan tempat letak kereta, ruang khas parkir bas juga tiada di kawasan itu dan menyebabkan pemandu bas bertindak memarkir di tepi jalan," katanya.

Tambahnya, situasi itu turut menggugat keselamatan pelancong golongan warga emas.

“Bayangkan situasi yang dihadapi oleh pelancong warga emas.

“Bukan sahaja bas diletakkan di tepi jalan, mereka juga terpaksa menyeberangi jalan sesak untuk ke pasar dan kemudiannya perlu membawa barang mereka kembali ke bas," katanya.

Selvarajoo mencadangkan pasar Kea Farm dipindahkan ke tapak lebih sesuai dengan ruang parkir kereta termasuk bas yang lebih banyak.

“Susunan gerai-gerai di Kea Farm juga tidak teratur dan tidak menarik dari segi estetikanya.

“Sebahagian gerai dibina dengan bahan plastik dan zink. Saya rasa pasar tersebut juga perlu dinaik taraf," katanya.

Sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah trafik di situ, beliau berkata, lebih banyak ruang letak kereta perlu disediakan.

Menurutnya, antara lokasi lain yang turut mengalami masalah sama ialah Tringkap, Brinchang dan Tanah Rata.

Semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 5 September lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, isu kesesakan lalu lintas di tempat-tempat pelancongan di pusat peranginan tersebut khususnya Kea Farm, sedang ditangani.

Beliau memaklumkan, Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah meluluskan projek penambahan tempat letak kereta dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

"Fasa pertama akan melibatkan 516 ruang dan dijangka siap menjelang Februari 2025, manakala fasa kedua akan melibatkan 543 ruang, bergantung kepada keperluan dan permintaan."

Beliau juga berkata, peruntukan RM122 juta telah diluluskan untuk menaik taraf jalan antara bekas tapak Muzium Terowong Masa dan bulatan baharu di Brinchang.

Tambahnya, sistem kawalan gelung trafik sehala juga akan diperkenalkan di Kea Farm. — The Star/IVAN LOH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram